DUN Kelantan wajar bubar jika PAS kalah - PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan PAS Kelantan perlu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika kalah dalam pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir bulan depan bagi membuka jalan kepada pilihan raya negeri.
"Apabila mereka melihat kepada keputusannya, kalau dah rakyat mula tak ada keyakinan, maka itulah masanya mereka perlu mengambil tindakan untuk meminta mandat baru."
"Dan ini mesti didahului dengan pembubaran DUN," kata Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada sidang akhbar selepas mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Bosnia dan Herzegovina Adnan Terzic, di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Menurut laporan Bernama, bagaimanapun Abdullah berkata tumpuan sekarang ialah untuk memastikan kemenangan calon BN pada pilihan raya kecil 6 Disember itu yang diadakan berikutan kematian wakil rakyat Pengkalan Pasir dari PAS Wan Abdul Aziz Wan Jaafar, 31 Oktober lepas.
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini berkata PAS tidak akan terikut-ikut dengan kehendak pembangkang untuk membubarkan DUN Kelantan bagi memberi ruang kepada pilihan raya umum diadakan semula di negeri itu.
Nik Aziz berkata demikian sebagai menjawab gesaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Annuar Musa yang juga ketua pembangkang di DUN negeri, supaya PAS memberi peluang kepada rakyat memilih semula kerajaan negeri.
Jika menang di Pengkalan Pasir, BN akan mempunyai 22 kerusi dan PAS 23 kerusi.
Dalam pada itu, Abdullah berkata beliau menjangkakan senarai bakal calon akan diserahkan kepadanya oleh Badan Perhubungan Umno Kelantan dalam masa dua tiga hari lagi.
"Senarai itu akan diserahkan kepada saya dan Datuk Seri Najib dan kita boleh pilih mana satu. Tentu kita mahu memilih seorang calon yang baik, yang bersedia untuk bekerja dan berusaha bagi kebaikan rakyat dan pengundi," katanya.
Abdullah berkata calon BN juga akan memastikan kawasan berkenaan dapat dibangunkan sepenuhnya.
"Itulah calon yang kita perlukan. Dia juga perlu merupakan seorang yang berwibawa,"katanya.
Abdullah yakin BN mempunyai harapan cerah untuk menang di DUN Pengkalan Pasir.