Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penduduk Pangkor harap kerajaan negeri HARAPAN pimpinan MB Ahmad Faizal Azumu teruskan usaha penjenamaan semula pulau itu.

Penduduk Pangkor berharap kerajaan negeri Pakatan Harapan (HARAPAN) di bawah pimpinan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu meneruskan usaha pembaharuan atau penjenamaan semula pulau tersebut untuk direalisasikan sebagai pulau bebas cukai.

Berikutan kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), segala harapan ke arah mentransformasikan pulau yang didiami 25,000 penduduk kebanyakannya bergantung kepada hasil laut itu, kini samar.

Pada perbentangan Bajet 2018, Oktober tahun lalu. Pangkor diumumkan sebagai pulau bebas cukai.

Seorang pengusaha resort di Pasir Bogak di sini, Asmadi Teh, 55, yang berasal dari Kampung Teluk Gedung di sini berkata Pangkor memerlukan suntikan baharu bagi memastikan ia terus kekal menjadi pilihan pelancong, namun prasarana dan kemudahan sedia ada perlu dinaik taraf.

Naikkan semula pekan Lumut

"Pulau ini lazimnya akan meriah dengan kehadiran pelancong terutama pada musim cuti sekolah dan cuti hujung minggu, namun ia 'lengang' pada hari biasa.

"Jadi kami sangat berharap Pangkor diberi status pulau bebas cukai dan sekali gus boleh merancakkan kembali sektor pelancongan serta aktiviti sosioekonomi yang boleh hampir setanding dengan pulau bebas cukai lain seperti Pulau Langkawi," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagi seorang peniaga hasil laut Pangkor Chan Eng Hoo, 48, dari Kampung Sungai Pinang berpendapat kerajaan negeri perlu memperhebatkan promosi pelancongan Pangkor kerana sejak kebelakangan ini, ramai peniaga tempatan mula mengeluh kerana hasil perniagaan merosot disebabkan kurang pelancong mengunjungi dan membeli barangan di pulau itu.

"Perkara ini melibatkan pelbagai faktor termasuklah orang ramai yang semakin lama semakin berhati-hati untuk berbelanja memandangkan keadaan ekonomi semasa masih tidak menentu, meskipun sekarang sudah sifar GST," katanya yang telah 18 tahun membuka perniagaan hasil laut di pulau itu.

Sementara itu bagi peniaga gerai makan di kawasan Jeti Lumut, Mohd Salleh Ismail, 42, berharap Pangkor dapat direalisasikan sebagai pulau bebas cukai yang sedikit sebanyak akan membantu menaikkan semula pekan Lumut.

"Kedudukan kami di kawasan jeti Lumut sudah tentu sedikit sebanyak akan memberi tempias ekonomi dan kami harap keadaan perniagaan akan semakin baik pada masa akan datang kerana suasana di sini agak suram disebabkan pengunjung agak berkurangan dalam dua tiga tahun kebelakangan ini," katanya.

Saranan yang sama turut dikongsi dua pelancong dari Selangor, Abd Karim Wahidun, 29, dari Klang, dan R. Darmindren, 33, dari Batu Caves, yang berpendapat jika ia direalisasikan, sudah pasti Pangkor akan menjadi tumpuan pelancong kerana pulau ini sinonim dengan ‘pelancongan bajet', malah jarak antara Pangkor dengan Kuala Lumpur masih dikira dekat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS