Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mujahid sahkan AMANAH hantar namanya untuk jawatan menteri

Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini mengesahkan namanya antara yang disenaraikan oleh parti itu untuk menganggotai kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, keputusan parti untuk mengemukakan namanya adalah berasaskan kepimpinan beliau dalam parti dan pengalaman dalam arena politik negara.

"Saya bersedia untuk berkhidmat tidak kira apa-apa jawatan kabinet yang diberi…Saya anggap itu sebagai satu penghormatan yang tinggi dan amanah untuk berkhidmat kepada negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di George Town hari ini.

Pada masa ini, jemaah menteri Dr Mahathir hanya mempunyai 13 anggota sedangkan ada beberapa portfolio penting termasuk menteri luar yang masih kosong selain tiada timbalan menteri dinamakan.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata beliau tidak pasti apakah portfolio yang dicadangkan untuk beliau.

“…Soalan ini hanya akan terjawab apabila pengumuman rasmi dibuat oleh perdana menteri," katanya yang menafikan beliau bakal dilantik menjadi Menteri Luar.

Dr Mahathir dijangka mengumumkan senarai kabinetnya sebelum Parlimen bersidang pada 16 Julai ini.

Sebelum ini difahamkan senarai calon anggota jemaah menteri terbabit akan dipersembahkan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas sambutan Aidilfitri.

Antara 13 anggota kabinet yang telah mengangkat sumpah jawatan masing-masing ialah Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri), Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) dan Presiden Amanah Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan).

Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan berkata pentadbirannya tidak akan memiliki lebih daripada 30 kementerian.

-Bernama

Lihat Komen
ADS