Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Siti Kasim dan polis adakan sidang akhbar bersama
Diterbitkan:  Jun 24, 2018 4:50 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Polis dan peguam Siti Kasim mengambil laluan diplomatik ketika mereka bersama-sama mengadakan sidang media petang ini mengenai perbalahan antara anak guamnya Anis Izzatty Ruslan yang berusia 24 tahun serta ibu bapa Anis.

Ini selepas polis menahan Siti Kasim semalam kerana didakwa 'menculik' Anis di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan menghalang seorang pegawai awam di bawah Seksyen 186 undang-undang yang sama.

Bagaimanapun, majistret menolak permohonan pihak polis untuk menahan reman peguam berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dilihat mengiringi Siti Kasim selepas peguam itu dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang petang tadi.

Kerjasama dengan polis

Siti Kasim kemudiannya meminta media merujuk kepada Ahmad Dzaffir yang menjelaskan polis hanya bertindak terhadap laporan polis yang dibuat ibu bapa Anis bahawa Siti Kasim didakwa menculiknya dari Hospital Kajang, yang telahpun dinafikan Anis.

"Kini pihak polis telah laksanakan bidang kuasa yang telah diperuntukan oleh polis dan akan bebaskan Siti Kasim pada petang ini juga. Jadi siasatan kita di bawah seksyen 186 masih berjalan dan dijangka kertas siasatan dipanjangkan kepada timbalan pendakwa raya.

"Mengenai tangkapan Siti Kassim semalam, polis telah mengambil setiap langkah mengikut undang-undang sedia ada mengikut Seksyen 363 dan 186 Kanun Keseksaan, yang mana kedua-dua seksyen itu membenarkan untuk tangkapan dan kita tidak memilih mana-mana pihak untuk buat tangkapan," kata Ahmad Dzaffir.

Beliau berkata polis akan menyiapkan siasatan terhadap Siti Kasim di bawah Seksyen 186 dan mengemukakan kertas siasatan ke Jabatan Peguam Negara.

Seterusnya, Siti Kassim memberitahu media beliau hanya melakukan tugasnya sebagai seorang peguam. Siti juga berjanji untuk bekerjasama dengan polis.

"Saya berterima kasih kepada mahkamah kerana menolak reman kerana apa yang saya lakukan adalah sebagai seorang peguam sewaktu saya bertugas, saya bukan mahu menimbulkan sebarang masalah.

"Apa saya telah lakukan adalah sebagai seorang peguam. Sewaktu saya jalankan tugas dan saya akan beri kerjasama penuh kepada pihak polis untuk selesaikan isu ini dan itu saja lah.

"Kami akan bekerja sama kerana terdapat banyak perkara (berlaku) di sebalik (tabir), yang mungkin anda semua sudah tahu sekarang ini.

"Jadi, saya faham mereka (polis) kerana kadangkala, kamu tidak mendapat keseluruhan gambaran atau keseluruhan cerita dan saya fikir itulah sebabnya majistret menolak permohonan reman selepas mendengar keseluruhan (cerita) dan gambaran sebenar bagaimana ia boleh menjadi begini," katanya.

Anis dilaporkan meninggalkan rumah, mendakwa ibunya 'terlampau mengawalnya'. Selanjutnya, ibu Anis membuat laporan dengan pihak berkuasa agama dan polis yang menahannya.

Siti Kasim telah memberi perlindungan kepada Anis di rumahnya di Kuala Lumpur tetapi polis semalam menyerbu apartmen itu dan mengambil Anis berdasarkan laporan polis oleh ibu Anis bahawa peguam berkenaan telah 'menculik' anaknya.

Siti Kasim, Ahmad Dzaffir bersalaman

Siti Kasim kemudiannya pergi ke balai polis daerah Kajang, tempat Anis dibawa, bagi menuntut pembebasannya tetapi ditangkap.

Menjawab soalan beliau bersikap agresif dengan polis, Siti Kasim berkata dirinya cuba melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada anak guamnya Anis.

"Saya pasti jika sesiapa mengupah seorang peguam, kamu pasti mahukan peguam kamu melakukan yang terbaik untuk kamu dan bersungguh-sungguh bertindak supaya kamu tidak terus ditahan lagi," katanya.

Siti Kasim dan Ahmad Dzaffir bersalaman selepas sidang akhbar dan menjemputnya makan tengahari, namun ketua polis daerah itu berkata beliau mempunyai rumah terbuka Hari Raya untuk dihadiri.

Lihat Komen
ADS