Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda AMANAH turut kesal polemik bahasa
Diterbitkan:  Jun 26, 2018 9:45 AM
Dikemaskini: 2:42 AM

Pemuda AMANAH hari ini turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan kementerian kewangan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam Bahasa Mandarin.

Ketuanya Mohd Sany Hamzan berkata, bahasa Melayu merupakan bahasa mewakili seluruh rakyat Malaysia dan ia menjadi bahasa rasmi yang digunapakai untuk setiap urusan rasmi kerajaan.

"Pemuda AMANAH Nasional turut bertanggungjawab melahirkan rasa kesal terhadap polemik yang sedang berlaku melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

"Bagi kami, mana-mana kementerian hanya perlu mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mereka di dalam Bahasa Melayu sahaja seperti yang dipraktikkan sebelum ini kerana ia mewakili keseluruhan kaum di dalam negara ini.

"Ia sewajarnya menjadi ketetapan dan prosedur yang perlu dipatuhi oleh semua pihak terutama kementerian dan agensi yang bernaung di bawah kerajaan," jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kritikan terhadap Lim bermula apabila beliau mengeluarkan kenyataan tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina – ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange, Khamis lalu.

Lim bagaimanapun mempertahankan tindakan itu melalui satu kenyataan di Facebook, namun ia hanya dibuat dalam bahasa Cina yang menambahkan lagi kritikan terhadapnya.

Selepas itu Lim tampil menegaskan beliau mendukung dan mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Lim juga berkata beliau tetap akan menggunakan bahasa lain dalam akaun media sosial dan Bahasa Mandarin dalam komunikasinya bersama akhbar Cina.


Baca: Guan Eng: Saya tetap pertahan bahasa kebangsaan


Meskipun Pemuda BERSATU misalnya menegaskan Bahasa Melayu perlu diutamakan sebagai bahasa rasmi dalam urusan kerajaan, beberapa anggota parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) pula berpendapat sebaliknya.

Anggota parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata dalam keadaan tertentu kenyataan media dikeluarkan dalam Bahasa Cina terutama apabila melibatkan terma yang sukar difahami yang perlu diterjemah dalam bahasa berkenaan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyifatkan penggunaan bahasa Cina dalam kenyataan rasmi menteri kewangan itu hanya sebagai kesilapan kecil.

“Ini kesalahan kecil. Saya tidak mahu jadikan isu. Kadang kala kita buat salah," kata Mahathir.


Baca: Isu bahasa: Guan Eng cuma silap kecil - Dr M


Manifesto martabatkan bahasa kebangsaan

Mengulas lanjut, Sany berkata manifesto Pakatan Harapan sebelum ini menegaskan Bahasa Melayu perlu dimartabatkan sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskannya sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau.

"Penegasan itu adalah bukti komitmen kerajaan persekutuan yang baru ini untuk mengangkat semangat perpaduan dan mengiktiraf keagungan Bahasa Melayu di dalam negara ini," tegasnya.

Katanya, kecuaian yang berlaku tidak sewajarnya dipertahankan mana-mana pihak kerana ia tidak membawa semangat yang dibawa oleh kerajaan persekutuan dalam membawa Malaysia Baru.

"Pemuda AMANAH Nasional mengharapkan agar seluruh pimpinan dan parti pemerintah mendukung komitmen untuk membina Malaysia Baru yang benar-benar baru," tegasnya.

 

Lihat Komen
ADS