Pelajar baru UiTM dapat wang pendahuluan dari PTPTN
Berita baik untuk pelajar baru Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) yang kurang berkemampuan - mereka akan diberikan wang pendahuluan pinjaman RM1,500 untuk mendaftarkan diri UiTM pada 18 Disember depan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Shafie Salleh.
Berita baik untuk pelajar baru Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) yang kurang berkemampuan - mereka akan diberikan wang pendahuluan pinjaman RM1,500 untuk mendaftarkan diri UiTM pada 18 Disember depan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Shafie Salleh.
Wang pendahuluan itu adalah sebahagian dari pinjaman yang akan dilsalurkan kepada mereka oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Dr Shafie berkata wang RM1,500 itu akan diberikan kepada semua pelajar dari keluarga yang pendapatan tidak melebihi RM2,000 dan belum pernah menerima pinjaman atau wang pendahuluan daripada PTPTN.
"Mereka diharap dapat berjimat kerana ia menjadi sebahagian daripada pinjaman pendidikan dan akan dipotong atau diselaraskan melalui bayaran pinjaman pendidikan pada semester pertama atau kedua pengajian," katanya.
Menurut laporan Bernama , menteri itu juga mengingatkan para pelajar berkenaan mengemukakan permohonan pinjaman pada tarikh yang ditetapkan oleh institusi pengajian tinggi awam masing-masing.
Dr Shafie juga mengumumkan, buat pertama kalinya PTPTN akan menghantar penyata kepada kira-kira 715,000 peminjam melalui pos mulai esok yang memaparkan maklumat transaksi pinjaman pelajar daripada mula meminjam sehingga 31 Oktober lalu.
Katanya, nombor PIN individu akan dihantar dengan penyata itu yang membenarkan mereka menyemak transaksi melalui lamanweb www.emoe.gov.my di masa akan datang.
"Pihak PTPTN juga menubuhkan unit panggilan pusat di talian 03-2098 3939 bagi memudahkan pelajar mendapatkan penjelasan lanjut mengenai penyata tersebut," katanya kepada media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2004 kepada kakitangan kementerian dan agensi di bawahnya di Kuala Lumpur hari ini.
Dr Shafie berkata, unit itu beroperasi dari jam 8 pagi hingga 9 malam mulai 21 November hingga 21 Februari 2006. Ia juga boleh dihubungi melalui emel di alamat penyata@ptptn.gov.my atau faks 03-2094 2769.
Selain itu, katanya, mulai 1 November lalu, PTPTN tidak lagi membuat potongan RM20 untuk bayaran duti setem bagi perjanjian pinjaman pendidikan setiap pelajar.
Sebaliknya, pelajar dikehendaki menampal sendiri setem hasil bernilai RM10 setiap satu, di penjuru atas sebelah kanan muka surat pertama bagi dua salinan dokumen perjanjian pinjaman pendidikan yang diedarkan oleh PTPTN bersama surat tawaran pinjaman.
"Saya menasihatkan semua pelajar institusi pengajian tinggi yang ingin membuat pinjaman pendidikan PTPTN supaya membeli setem berkenaan lebih awal di mana-mana pejabat Pos Malaysia," katanya.

