Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menafikan laporan yang mendakwa dana membiayai kegiatan " pakar bom" Dr. Azahari Husin disalurkan dari Malaysia.

" Sering dibangkit Malaysia terlibat dengan isu keganasan. Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak langsung mempunyai apa-apa bukti menunjukkan dana itu dari Malaysia," katanya.

Laporan sebuah akhbar berpengaruh di Indonesia, "Media Indonesia" baru-baru ini menyebut bahawa dana bagi kegiatan kelompok pengganas yang dikaitkan dengan Dr.Azahari, yang mati ditembak di Malang, Jawa Timur Rabu lepas disalurkan dari Malaysia.

"Kalau ada maklumat begini kita perlu menggunakan saluran secara bersama untuk disiasat sama ada laporan itu benar. Kenyataan yang dibuat secara umum memberi implikasi negatif seperti Malaysia menyokong kumpulan pengganas."

"Ini adalah sesuatu yang tidak tepat dan negatif kepada Malaysia. Saya harap maklumat begini dapat kita teliti untuk melihat siapakah dalang yang sebenarnya yang membiayai kerja-kerja itu supaya kita mengambil tindakan yang tegas," katanya.

Menurut laporan Bernama dari Busan, Korea Selatan, Syed Hamid berkata, Malaysia menentang sebarang bentuk keganasan dan tidak berminat menyokong mana-mana kumpulan pengganas dan jika ada kumpulan yang terbabit, kerajaan akan mengambil tindakan mengikut saluran.

Menurut berita itu, yang memetik seorang pemerhati perisikan Indonesia, Wawan H. Purwanto, seorang diplomat asing (tidak disebut dari negara mana) yang mempunyai kekebalan menjadi penghubung dan berperanan menyalurkan dana untuk kumpulan itu.

Beliau berkata kerajaan Indonesia tidak pernah memberikan maklumat ada diplomat asing terbabit tetapi kerajaan akan menyiasat untuk mengetahui keadaan sebenar.

Syed Hamid berada di Busan kerana menyertai Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Sidang Kemuncak Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang bermula esok.

Semalam beliau mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawatannya dari Asean. Menurutnya, mereka turut membincangkan isu Myanmar kerana perkara tersebut sering dibangkitkan di mesyuarat-mesyuarat antarabangsa.

" Isu Myanmar perlu diberi perhatian dan kita tidak mengganggap isu ini kurang penting, hanya kita berhati-hati bagi memastikan kita tidak campur tangan dalam hal ehwal negara luar," katanya.

Pagi tadi, Syed Hamid mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Luar Peru Manuel Carlos Maurta dan Menteri Luar New Zealand Winston Peters.