Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lepas dibidas, Mindef kata kaji PLKN bukan MKN
Diterbitkan:  Jul 1, 2018 1:52 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

Kementerian Pertahanan (Mindef) menafikan laporan media yang memetik Mohamad Sabu sebagai berkata Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu dikaji semula atau dimansuhkan.

Sebaliknya, kementerian itu berkata apa yang dimaksudkan Mohamad adalah kajian semula berkaitan Program Khidmat Negara (PLKN).

“Pihak kami ingin merujuk kepada kekeliruan yang berlaku dalam laporan media berhubung kenyataan Menteri Pertahanan dalam sesi wawancara bersama media pada 28 Jun 2018 (Khamis) bahawa Akta MKN akan dikaji semula sama ada untuk dikekalkan atau dimansuhkan.

“Pihak kami ingin menjelaskan bahawa, kajian semula yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan adalah merujuk kepada PLKN dan bukannya Akta MKN seperti yang dilaporkan.

“Program PLKN sedang dikaji semula dan akan diputuskan oleh kabinet dalam tempoh terdekat,” menurut kementerian itu dalam kenyataannya, hari ini.


BACA: Menteri pertahanan: Kerajaan akan kaji semula PLKN


MKN tanpa perkenan Agong

Dalam wawancara bersama media Khamis lalu, portal FMT melaporkan Mohamad berkata Putrajaya kini sedang mengkaji MKN yang ditubuhkan pentadbiran sebelum ini bagi mengelak ia dijadikan alat politik.

“Kita akan lihat balik secara serius sama ada kita mahu mengekalkannya atau memansuhkannya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Akta MKN diluluskan pada Disember 2015 apabila 107 ahli Parlimen bersetuju, manakala 77 lagi menolak.

Ketika dibentangkan tahun lalu, Majlis Raja-raja berpendapat beberapa peruntukan dalam rang undang-undang MKN perlu diperhalusi.

Bagaimanapun, ia diwartakan tanpa mendapat perkenan Agong, berdasarkan pindaan 1993 yang diusahakan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika kali pertama menjadi perdana menteri.

Akta yang berkuat kuasa pada 1 Ogos itu membolehkan perdana menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” dengan membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.

PM sahkan MKN dikaji semula

Ia juga membenarkan penyiasat mengabaikan sebarang penyiasatan formal berhubung pembunuhan dilakukan polis atau tentera di dalam sesuatu “kawasan keselamatan”.

Kenyataan Mohamad itu telah dikritik secara meluas oleh pelbagai pihak yang mengingatkan HARAPAN berkaitan manifesto mereka yang ingin memansuhkan undang-undang zalim.

Bercakap kepada pemberita di Langkawi hari ini, Dr Mahathir mengesahkan bahawa MKN antara akta yang sedang dikaji semula sama ada untuk dipinda atau dimansuhkan.

Katanya kajian itu dibuat memandangkan ada antaranya digunakan kerajaan terdahulu untuk menyekat kebebasan rakyat.

“Kerajaan sedang mengkaji kesan-kesan daripada banyak undang-undang yang perlu dimansuhkan kerana banyak undang undang ini menekan rakyat, tidak memberi kebebasan bersuara, kebebasan surat khabar dan juga kebebasan bertindak,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS