Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir: Akta MKN tetap dipinda atau dimansuh
Diterbitkan:  Jul 1, 2018 12:28 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 adalah antara undang-undang yang sedang dikaji oleh kerajaan untuk dipinda atau dimansuhkan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Katanya kajian itu dibuat memandangkan ada antaranya digunakan kerajaan terdahulu untuk menyekat kebebasan rakyat.

“Kerajaan sedang mengkaji kesan-kesan daripada banyak undang-undang yang perlu dimansuhkan kerana banyak undang undang ini menekan rakyat, tidak memberi kebebasan bersuara, kebebasan surat khabar dan juga kebebasan bertindak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja penyiapan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Langkawi di pulau peranginan itu.

Dr Mahathir yang juga Anggota Parlimen Langkawi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu baru-baru ini yang mengatakan Akta MKN 2016 mungkin akan dikekalkan walaupun Pakatan Harapan pernah berjanji untuk menghapuskannya jika menang dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

Menurut Mohamad, akta yang memberi kuasa penuh kepada perdana menteri seperti mengisytiharkan darurat memberikan kebaikan untuk pegawai kerajaan menjalankan tugas.

Dr Mahathir berkata semasa memberikan pertimbangan kepada undang-undang tersebut, kerajaan pimpinannya tidak akan menyekat pergerakan parti pembangkang yang pernah memerintah dahulu.

“Kita tidak akan sekat parti-parti lawan seperti BN. Dia nak buat apa pun, buatlah. Kita kena pinda banyak undang undang mengikut keperluan,” katanya.

Sementara itu beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memenangi jawatan presiden Umno semalam.

Menurutnya kemenangan itu cukup besar dan memberi makna bahawa Ahmad Zahid disayangi oleh orang Umno. - Bernama

Lihat Komen
ADS