Bekas anggota Umno Datuk Ibrahim Ali yang berhasrat bertanding dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir berkata beliau sedia berbincang dengan mana-mana pihak sebelum membuat keputusan muktamad untuk bertanding.

Bekas ketua Umno Bahagian Pasir Mas yang dipecat selepas beliau menentang calon Barisan Nasional sebagai calon bebas pada pilihan raya umum lepas berkata, beliau sedia berbincang dengan pihak yang boleh mengembalikan maruahnya yang tercemar kerana dipecat daripada jawatannya dan dibuang parti.

"Setakat ini saya akan bertanding tetapi jika ada pihak yang boleh membela maruah saya, saya boleh mempertimbangkan demi kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan ceramah di bilik gerakannya di Pasir Mas semalam.

Menurut laporan Bernama, Ibrahim berkata, beliau akan bertanding sebagai calon rakyat dan bukannya calon bebas kerana amalan demokrasi membenarkan mana-mana individu yang memenuhi syarat untuk bertanding.

Ketika ditanya mengapa beliau mahu bertanding sekali lagi selepas kalah pada pilihan raya umum lepas, Ibrahim berkata beliau bertanding untuk kepentingan rakyat Pasir Mas dan bagi membela maruah serta imejnya sebagai ahli politik.

Pada pilihan raya umum lalu Ibrahim bertanding sebagai calon bebas merebut kerusi parlimen Pasir Mas dan mendapat 6,198 undi. Kerusi tersebut dimenangi calon PAS Ismail Noh dengan 17,526 undi yang turut mengalahkan calon BN Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman yang mendapat 16,275 undi.

Mengenai tindakan segelintir pihak yang menyifatkan beliau sebagai "pengacau", Ibrahim berkata pihak yang berkata demikian tidak memahami amalan demokrasi sebenar.

Penganalisis politik berpendapat kehadiran Ibrahim akan menjadi faktor penyumbang kepada pemecahan undi calon PAS dan calon BN kelak. Hari penamaan calon ialah pada 27 Novmber dan pengundian pada 6 Disember.

Pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari PAS Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktpber lalu akibat kanser hati. Wan Abdul Aziz menewaskan calon BN Hanafi Mamat dengan kelebihan 56 undi.