Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan 1MDB selesai 50 peratus, kata SPRM
Diterbitkan:  Jul 6, 2018 9:57 PM
Dikemaskini: 2:00 PM

Siasatan berhubung kes 1MDB telah 50 peratus selesai, kata ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu yang ditemui selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara hari ini juga berharap proses siasatan kes akan selesai dijalankan secepat mungkin.

"Saya bersyukur atas pelantikan ini dan ini merupakan satu amanah besar kepada saya untuk menjalankan tugas yang diberikan.

"Fokus saya ketika ini tetap menjalankan kes sekarang iaitu berkaitan RM2.6 bilion.

"Doakan supaya kes ini diselesaikan secepat mungkin," katanya merujuk kepada RM2.6 billion yang dikatakan telah disalurkan ke akaun peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini SPRM telah memanggil tiga individu bagi memberi keterangan berhubung kes 1MDB iaitu Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anak tiri Najib, Riza Aziz.

Terdahulu, Mohd Shukri yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 18 Mei lepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Beliau menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang meminta ditamatkan kontrak perkhidmatannya pada 14 Mei lepas dan kembali bertugas di Pejabat Peguam Negara.

Mohd Shukri, 58, pernah berkhidmat selama 32 tahun bersama SPRM sebelum bersara awal pada 2016. Jawatan terakhir yang dipegang beliau adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.

Mohd Shukri yang berpengalaman luas dalam kes siasatan jenayah, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Turut hadir menyaksikan istiadat pelantikan adalah Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS