Paling Popular
Terkini
story images
story images

Malaysiakini difahamkan Naib Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin dan anggota parlimen Johor Bahru Akmal Nasir mungkin akan bertanding bagi jawatan tertinggi sayap pemuda parti itu.

Ketua Pemuda Nik Nazmi Nik Ahmad telah melepasi had umur 35 tahun.

Afif dan Akmal masing-masing adalah protege kepada dua pemimpin PKR yang bersaing - Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Ketika dihubungi, Akmal enggan mengulas ketika diminta mengesahkan perkara itu. Bagaimanapun sumber mengatakan beliau dijangka membuat pengumuman minggu depan.

Sementara itu, Afif yang juga ADUN Seberang Jaya berkata beliau masih menimbangnya kerana ada juga yang mencadangkannya agar bertanding bagi jawatan naib presiden parti.

"Saya belum buat keputusan, ada yang cadangkan (bertanding naib presiden), tetapi saya perlu tanya kepimpinan dan berbincang dengan (Ketua Umum PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dulu," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, jangkaan sangat tinggi untuk pemilihan kali ini kerana orang ramai akan memantau kelakuan PKR yang tidak lagi menjadi parti pembangkang.

Ini merupakan penggal pertama Akmal sebagai anggota parlimen. Beliau juga ketua cabang PKR termuda selepas memenangi jawatan ketua cabang Johor Bahru pada 2014.

Sebelum PRU ke-14, beliau yang juga pengarah strategi Pemuda PKR itu dibentuk Rafizi melalui NGO National Oversight & Whistleblowers (NOW) di mana beliau mendedahkan skandal melibatkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Afif pula adalah exco kerajaan Pulau Pinang dan sudah dua penggal menjadi ADUN. Faksi AMK Barunya - yang rapat dengan kem Azmin - menguasai pemilihan pemuda PKR pada 2014 selepas memenangi tiga daripada lima kerusi naib ketua dan 16 ahli jawatankuasa.

Ketua AMK Baru Amiruddin Shari tewas kepada Nik Nazmi dengan perbezaan hanya 250 undi. Beliau kini menteri besar Selangor.

Pertembungan antara pasukan Azmin dan Rafizi dijangka menguasai pemilihan PKR kali ini.

Persaingan antara dua pemimpin itu meningkat susulan Langkah Kajang pada 2014 dan sejak itu mendominasi politik dalaman PKR.

Lihat Komen
ADS