Menteri minta TLDM keluar laporan kematian pegawai kadet
Menteri Pertahanan Mohamad meminta TLDM menjalankan siasatan segera dan mengeluarkan laporan terperinci mengenai kes kematian Pegawai Kadet Graduan (PKG) J Soosaimanicckam semasa menjalani latihan di KD Sultan Idris, Lumut pada 19 Mei lalu.
Ini, katanya, ekoran tuntutan keluarga pegawai berkenaan kepada TLDM untuk memberi penjelasan terperinci berhubung insiden kematian mendiang.
"Selaku menteri pertahanan, saya mengambil maklum dan akan meminta pihak TLDM melakukan siasatan segera dan mengeluarkan laporan terperinci mengenai kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Saya memberi jaminan bahawa siasatan ini akan dijalankan secara bebas dan adil serta tiada sebarang “cover up”.
Beliau juga merayu agar pihak keluarga mendiang bersabar dan menunggu sehingga siasatan selesai dijalankan.
"Tindakan tegas akan diambil sekiranya terbukti ada pihak yang terlibat dalam salah laku sehingga menyebabkan kematian PKG J Soosaimanicckam," tambahnya.
Semalam, keluarga pegawai kadet itu menuntut TLDM dan Polis Diraja Malaysia memberi penjelasan terperinci berhubung kematian PKG tersebut.
Peguam keluarga mendiang N. Surendran dilaporkan Bernama sebagai berkata timbul kemusykilan berhubung punca kematian Soosaimanicckam memandangkan laporan awal menyatakan beliau meninggal dunia akibat paru-paru berair sedangkan laporan perubatan sebelum menjalani latihan menyatakan mendiang seorang yang sangat sihat.
"Sehingga kini tiada sebarang penjelasan yang diberi pihak TLDM dan tiada jawapan daripada pihak polis yang sepatutnya menyiasat kes ini lebih lanjut," kata Surendran kepada pemberita di pejabat Lawyers for Liberty (LFL) semalam.
Soosaimanicckam disahkan meninggal dunia pada jam 1.45 petang, 19 Mei lalu di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak.
Sebelum itu mangsa mengadu sakit dada dan sesak nafas ketika berada di blok penginapannya selepas selesai menjalani latihan fizikal yang merupakan rutin harian pelatih pada 12.20 tengah hari.
Portal berita tempatan pada 20 Mei lalu melaporkan Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman sebagai berkata siasatan forensik mendapati mangsa meninggal dunia akibat paru-paru berair dan tiada sebarang unsur jenayah atau serangan fizikal.
Susulan itu keluarga mangsa membuat laporan polis sehari selepas beliau meninggal dunia (20 Mei) dan laporan kedua pada 1 Julai lalu menuntut pihak polis mengambil tindakan sewajarnya dan penjelasan yang lebih terperinci.

