Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata wakil rakyat tidak sepatutnya meletak jawatan tanpa sebab dan kemudian berhasrat untuk bertanding lagi selepas itu.

"Siapa letak jawatan tidak payah bertanding lagi dah. Takkanlah dah letak jawatan, esok nak bertanding (semula)," katanya kepada pemberita di Putrajaya ketika ditanya mengenai tindakan cabar-mencabar antara PAS dan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihanraya kecil Pengkalan Pasir 6 Disember ini.

Ahad lalu, 21 wakil rakyat BN bersetuju menghantar surat peletakan jawatan berkuatkuasa 1 Disember, tetapi Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Annuar Musa, berkata surat itu hanya sah jika kesemua 23 wakil rakyat PAS turut meletakkan jawatan pada pada tarikh yang sama.

Perdana Menteri menasihatkan supaya tindakan cabar-mencabar itu dihentikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kedua-dua parti.

"Tak payahlah nak letak-letak jawatan," katanya.

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata, situasinya berbeza jika seseorang wakil rakyat itu melepaskan jawatan disebabkan pembubaran Dewan Undangan Negeri.

"Sekiranya DUN dibubar, anggota DUN boleh dipilih semula, tetapi jika seseorang Adun meletak jawatan, dia tidak dapat dipilih semula.

Mandat baru

"Kalau dibubarkan DUN bukan bermaksud seseorang itu letak jawatan, kerana bila letak jawatan, dia akan hilang kedudukan," jelas Abdullah.

Isu itu tercetus apabila ahli exco kerajaan Kelantan Husam Musa mencabar kesemua 21 wakil rakyat BN negeri melepaskan jawatan bagi membolehkan pilihanraya diadakan untuk mengukur kekuatan kedua-dua parti selepas BN mencadangkan DUN Kelantan dibubar bagi membolehkan mandat baru kerajaan negeri ditentukan.

Hari ini, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar dilaporkan berkata wakil rakyat akan hilang kelayakan bertanding untuk lima tahun jika mereka melakukannya tanpa sebab.

Bagaimanapun isu hilang kelayakan itu tidak timbul jika Sultan Kelantan bertindak membubarkan Dewan Undangan Negeri, kata Wan Ahmad.

Dalam pada itu, Abdullah ketika ditanya mengenai calon BN bagi pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, berkata beliau masih dalam proses meneliti calon yang sesuai dan akan mengumumkannya dalam tempoh terdekat.

"Pada waktu ini, tunggu, saya belum buat keputusan," katanya dan ketika ditanya bila, beliau menjawab "Segera, amat segera".

Penamaan calon bagi pilihanraya kecil itu ditetapkan Ahad ini.