Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Pasir akan diadakan seperti yang ditetapkan walaupun berlaku banjir, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Katanya, pilihanraya kecil itu akan diteruskan kerana kawasan berkenaan bukanlah sentiasa dilanda banjir.

Suruhanjaya itu menetapkan penamaan calon pada hari Ahad ini dan pengundian pada 6 Disember depan berikutan kematian wakil rakyat PAS, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar kerana kanser hati pada 31 Oktober lalu.

Menurut laporan Bernama , sejumlah 18,411 pengundi layak mengundi dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.

Bercakap kepada pemberita di Pasir Mas hari ini, beliau berkata, SPR akan menugaskan lebih ramai anggota keselamatan jika berlakunya banjir atau hujan lebat di samping menyediakan payung dan baju hujan kepada pengundi.

"Pengundi mungkin basah sedikit tetapi persediaan itu bagi memastikan pengundi mudah ke tempat mengundi bagi melaksanakan hak mereka.

"Bagaimanapun, hujan lebat atau banjir kilat mungkin menghalang sesetengah pengundi yang menyebabkan bilangan pengundi adalah kurang", katanya.