Kestabilan M'sia: PAS pertikai dakwaan Lee Kuan Yew
PAS mempertikaikan kenyataan Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew yang mendakwa kemenangan parti Islam itu boleh menimbulkan keadaan tidak stabil di negara ini, serta menggugat kestabilan dan ekonomi republik itu.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Shafie Abu Bakar berkata kenyataan bekas Perdana Menteri negara itu mencerminkan "sikap dan hati budi Lee terhadap apa jua yang ada kaitan dengan Islam."
"Lee Kuan Yew walaupun seorang tokoh Asia, tetapi mewakili pandangan (yang sama) pemimpin Barat yang umumnya prejudis terhadap pemimpin Islam dan umat Islam," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang hari ini.
Lee dalam satu temuramah yang diterbitkan pada laman web Parti Tindakan Rakyat (PAP) berkata negara itu akan turut menerima kesan daripada situasi politik tidak stabil negara-negara jiran, seperti yang terjadi di Indonesia, Malaysia dan Thailand.
"Jika kita (pengundi Singapura) bertindak seperti negara-negara lain yang memilih kerajaan baru pada setiap pilihanraya umum, kedudukan Singapura menjadi lebih terdedah dan tidak stabil," katanya, berhujah keperluan kestabilan di negara itu.
Lee memberi contoh perkembangan politik di Indonesia yang cepat berubah dan keadaan itu mengambil masa untuk stabil semula.
"Begitu juga di Malaysia, kita dapat lihat PAS semakin mendapat sokongan daripada kelemahan Umno. Jika keadaan ini berterusan dan mereka berjaya menarik pengaruh parti Melayu dan India, ia akan menambah masalah di rantau ini," katanya.
PAS menyifatkan kenyataan Lee itu bertujuan mengambil hati pemimpin Umno menjelang lawatannya ke negara ini. Menteri kanan itu dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bulan depan.
Parti pembangkang itu mengingatkan Lee, ketika cuba menjaga hati pemimpin Umno, agar tidak lupa pada kenyataan bahawa majoriti rakyat yang menentukan perubahan politik di sesebuah negara.
"Sewajarnya beliau lebih berhati-hati di dalam menjaga sensitiviti rakyat yang sebahagian besar penyokong PAS dan Barisan Alternatif," kata Dr Shafie lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.