Pemimpin Umno yang mendesak Kerajaan PAS membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sepatutnya berasa malu apabila Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menjelaskan bahawa wakil rakyat yang meletakkan jawatan, tidak boleh jadi calon selama lima tahun.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengenai perkara itu benar-benar memberi tamparan kepada pemimpin Umno.

"Alhamdulillah menjadi rezeki kepada pejuang Islam. Cubalah kalau berani letak jawatan. Ini menandakan Umno seolah-olah tidak tahu langsung ada undang-undang tersebut, sedangkan mereka juga yang membuatnya.

"Atau mungkin juga mereka sengaja hendak melawan undang-undang. Itu mungkin semangat keris telanjang yang menjadi simbol kepada perjuangan Umno," ujarnya.

"SPR sudah mengajar Umno, jangan cakap besar kerana dunia ini ada undang-undang. Bukan Umno yang berkuasa tetapi undang-undang yang lebih berkuasa," katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi SPR menjelaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan yang meletak jawatan tanpa sebab, akan hilang kelayakan bertanding untuk tempoh lima tahun.

Dasar tidak jelas

Menurut laporan HarakahDaily.Net, perkara 48(6), Perlembagaan Persekutuan menyebut, seseorang yang meletak keahliannya dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh perletakan keahliannya berkuatkuasa, hilang kelayakan menjadi ahli Dewan Rakyat.

Menurut Wan Ahmad, Kelantan juga memakai peraturan yang sama.

Sebelum itu, ramai pemimpin Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendesak kerajaan Kelantan membubar DUN.

"Selagi manusia menggunakan sekular, selagi itulah akan timbul isu ini selama-lamanya. Contoh Ikhwan Muslimin di Mesir, sejak zaman Jamal Abdul Nasser ditekan, tetapi dalam pilihanraya di Mesir sekarang, Ikhwan sudah dapat sokongan, sebaliknya parti Hosni Mubarak menurun.

"Ini juga akan berlaku terhadap Umno. Umno akan runtuh sedikit masa lagi kerana dasarnya tidak jelas. Cuma apa yang ditekan parti itu adalah pembangunan. Tidak ada halatuju jelas," ujarnya