Ulasan Malaysiakini

Utusan Melayu makin jauh dari perjuangan luhur

Zainuddin Maidin  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN | Apabila saya dilucutkan dari jawatan ketua pengarang Utusan Melayu pada November 1992, beberapa orang pemberita Utusan yang berpontensi telah menemui saya dan mengikrarkan sokongan untuk membantah tindakan ini.

Antaranya ialah saudara Aziz Ishak, Rozaid Abdul Rahman dan saya tidak ingat seorang dua lagi.

Saya terharu dengan perasaan mereka kepada saya walaupun merekalah yang paling banyak menerima tekanan kerja daripada saya.

Bagaimanapun berasaskan pengalaman mogok Utusan Melayu perkerja-perkerja Utusan Melayu pada tahun 1961 kerana membantah pembuangan Pengarang Said Zahari pada tahun 1961 yang berakhir dengan tragedi, saya mengingatkan mereka "Saudara-saudara masih muda dan masih mempunyai masa yang panjang untuk membina kehidupan. Saya telah puas menjadi wartawan dan telah sampai ke puncak."

Saya juga ingatkan mereka tentang mogok Utusan yang gagal kerana sumpah setia dalam perjuangan tidak seteguh kata.

Nasib baik mereka tidak mengikut perasaan. Jika tidak Aziz Ishak tidak akan menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu dan Rozaid juga mungkin tidak jauh perjalanan di dunia kewartawanan.

Peristiwa ini juga mengajar saya agar jangan mengharapkan balasan budi dari sesiapa yang saudara berbakti kepada mereka dan terimalah manusia dengan segala kelemahannya seperti kita sanggup menerima kelemahan kita.

Semasa saya menjadi Menteri Penerangan, Aziz sebagai pengarang banyak membantu saya dalam memberikan ruang kepada saya walaupun ada kalanya beliau mengambil risiko yang tinggi kerana ketua pengarangnya tidak suka dia berbuat demikian.

Tetapi penilaiannya adalah berasaskan profesionalisme dan bukan kerana saya bekas ketua pengarang.

Saya tidak pernah melupakan sikap baik dan kesetiaan Aziz Ishak ini sekalipun saya tidak senang dengan dasar berat sebelah dan bias Utusan terhadap parti pembangkang.

Saya mengkritiknya secara terbuka dengan kesedaran dasar Najib yang tidak compromise terhadap parti pembangkang.

Seperti saya juga, Aziz Ishak mengumumkan persarannya di Mingguan Malaysia 22 Julai setelah berkhidmat lebih 20 tahun di Utusan dengan tajuk 'Mohon Undur Diri' menerusi ruangan pujuk Awang Selamat yang identitinya tetap kontroversi walaupun ketua pengarangnya silih berganti. Awang selamat ditulis oleh ketua pengarang .

Bagaimanapun Aziz tidak beremosi seperti saya yang dalam Awang Selamat terakhir saya di Mingguan Malaysia pada 1 November 1992 yang berpesan pada kawan-kawan:

Dari 1939 sampai kini
api ini tidak pernah mati
dimarakkan ganti berganti
dalam cahayanya anak-anak menari
satu tangan terbakar
sejuta tangan menggembangnya lebih erat lagi
maka keramatlah sebuah institusi
yang memahkotakan rakyat dari generasi ke generasi

Tanpa sedar Aziz Ishak dalam Awang Selamat terakhirnya di Mingguan Malaysia 22 Julai juga senada dengan dengan tulisan saya hampir 20 tahun lalu:

Katanya "Awang yakin rakan-rakan sekerja akan meneruskan perjuangan di institusi keramat bernama Utusan ini. Patah tubuh hilang berganti. Awang mohon mengudur diri namun percayalah obor akan terus menyala di hati."

Hampir semua ketua pengarang Utusan Melayu telah meninggalkan Utusan Melayu dalam kontroversi dan tekanan tersembunyi.

Jawatan saya berakhir secara mengejut pada 1 November 1992 kerana isu sensasi dan diambil alih oleh Johan Jaafar dari Dewan Bahasa dan bila Johan terpaksa berhenti digantikan oleh Khalid Mohd atas perakuan saya kepada Tun Dr Mahathir. Dan bila Khalid Mohd berhenti, Aziz Ishak timbalannya menggantikannya.

Menarik untuk diperhatikan pengarang pertama dan penaja Utusan Melayu Yusuf Ishak setelah disingkirkan oleh Umno menjadi presiden Singapura pertama, pengarang Utusan Said Zahari yang mengetuai mogok Utusan dipenjara selama 17 tahun di Singapura kerana didakwa bersubahat dengan Indonesia, Johan Jaafar menjadi Pengerusi Media Prima Berhad setelah Utusan Melayu.

Sepatah kata Pak Samad Ismail bekas timbalan pengarang Utusan Melayu yang menanam semangat nasionalisme dan sosialisme kepada wartawan-wartawan Utusan Melayu dari generasi ke generasi:

"Kebanyakan anak Utusan dahulu seperti merasakan mereka mempunyai kedudukan yang agak tinggi daripada orang biasa kerana mereka bertungkus-lumus memajukan Utusan yang berupa sebuah syarikat Melayu tulen. Pada mereka Utusan melambangkan segala yang luhur, mulia dan suci daripada perjuangan bangsa.

"Sewaktu ego ini terpancar juga dalam sikap dan tindak-tanduk mereka manakala berhubung dengan orang di luar Utusan, seolah-olah kebenaran dan hak berada di pihak Utusan, semata-mata kerana Utusan mempelopori perjuangan bangsa."

Apakah hal ini masih benar hingga sekarang, apakah ini yang tinggalkan oleh Aziz Ishak. Pak Samad juga pernah berkata dia ingin melihat anak-anak Utusan Melayu seperti dahulu seperti beliau tidak mahu melihat anak-anaknya membesar.

Hanyalah kenangan yang pedih.


TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN ialah bekas menteri penerangan dan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Tulisan ini asalnya terbit di blog beliau.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.