'Tugas berat menanti saya,' kata calon BN

   

Calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, Hanafi Mamat menyifatkan pemilihan beliau sebagai calon parti itu adalah tugas berat yang harus dipikul.

Hanafi, 51, berkata peluang kali kedua untuk bertanding di DUN Pengkalan Pasir akan digunakan sepenuhnya untuk memastikan kemenangan BN dan sebagai langkah awal penguasaan BN di Kelantan.

Dalam reaksi awalnya, Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas itu berkata, pertandingan kali ini menyaksikan tugas lebih berat untuk memastikan kemenangan BN yang kini menguasai 21 kerusi DUN Kelantan.

"Bagaimanapun, saya pasti sokongan yang diberikan dan jentera parti yang mantap dapat membantu BN merampas kerusi Pengkalan Pasir dari Pas," katanya kepada pemberita di sini Pasir Mas malam tadi.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Hanafi tewas tipis kepada calon PAS, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar dengan 56 undi.

Menuru laporan Bernama, Hanafi berkata, sokongan yang ditunjukkan anggota Umno termasuk dari peringkat bawahan dan atasan memberi semangat untuk beliau bertanding sekali lagi di DUN itu.

"Perkara pertama untuk saya lakukan sekiranya terpilih ialah menyelesaikan masalah tertunggak yang dihadapi penduduk Pengkalan Pasir selama ini.

"Saya berhasrat untuk melihat pembangunan di Bandar Pasir Mas yang lebih tersusun dan bebas dari masalah sampingan seperti banjir. Saya harap rakyat dapat beri mandat kepada BN untuk kita realisasikan hasrat itu," katanya.

Pilihan raya kecil DUN berkenaan diadakan berikutan kematian Wan Abdul Aziz akibat barah hati pada 31 Okt lepas.

Sementara itu Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dijangka mengumumkan

calon parti itu malam ini di Stadium Mini Pasir Mas.

Antara yang disebut-sebut sebagai bakal calon PAS ialah pegawai khas kepada Timbalan Menteri Besar, Che Samsudin Mohamed Noor dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan, Hanifa Ahmad.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In