Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mais cadang had umur minimum perkahwinan 18 tahun
Diterbitkan:  Aug 1, 2018 12:19 AM
Dikemaskini: 4:26 PM

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan agensi berkaitan mencadangkan agar had minimum perkahwinan di Selangor ditetapkan kepada 18 tahun selain syarat perkahwinan bawah umur diperketatkan di negeri itu.

Dalam satu kenyataan media, agensi itu berkata cadangan itu dibuat selepas perbincangan dengan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta pakar pelbagai jabatan serta agensi kerajaan, universiti dan NGO.

"Hasil perbicangan tersebut keputusan bersama telah dicapai bagi mencadangkan pindaan kepada peruntukan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang melibatkan had umur minimum bagi perkahwinan di bawah umur bagi orang-orang Islam di negeri Selangor.

"Cadangan pindaan adalah bagi menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi wanita daripada 16 tahun yang sedia ada di bawah undang-undang kepada 18 tahun.

"Dengan cadangan pindaan ini, had umur minimum perkahwinan bagi wanita dan lelaki Islam di negeri Selangor akan diselaraskan menjadi umur minimum 18 tahun," katanya pada satu kenyataan.

Menurut Mais, enakmen berkenaan akan dibawa pada sidang DUN secepat mungkin.

Selain itu, Mais juga bersetuju memperketatkan kelulusan perkahwinan di bawah umur oleh hakim mahkamah syariah.

Antara syarat yang dicadangkan adalah mewajibkan hakim mengarahkan kanak-kanak terbabit menjalani kursus kekeluargaan khas, sesi kaunseling yang dikendalikan kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pemeriksaan perubatan yang dikendalikan pegawai perubatan hospital kerajaan.

"Hakim juga diwajibkan untuk menyiasat kedudukan ekonomi bakal suami, rekod jenayah lampau sekiranya ada dan memanggil bakal suami atau bakal isteri dan bakal ibu-bapa mentua atau mana-mana pihak lain untuk diambil keterangan sebelum sesuatu permohonan dipertimbangkan," jelasnya.

Lihat Komen
ADS