Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kelibat Jho Low dalam episod terbaru 1MDB di China’
Diterbitkan:  Aug 1, 2018 2:20 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Episod terbaru saga 1MDB, kali ini membabitkan beberapa entiti di China, juga menampilkan kelibat ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.

Dalang di sebalik skandal 1MDB itu, dikatakan berperanan penting dalam rundingan projek saluran paip Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), yang dipercayai digunakan untuk mengubah dana untuk menyelamatkan 1MDB.

Ini adalah menurut bekas pegawai Malaysia yang tidak dinamakan yang pernah berkhidmat di pejabat perdana menteri, lapor akhbar The Wall Street Journal.

Menurut pegawai berkenaan, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak telah berjumpa dengan Low untuk membincangkan projek-projek dengan China pada Mei 2017, semasa beliau di Beijing menghadiri forum Belt and Road.

Ketika itu, China Petroleum Pipeline Bureau di Beijing telah menerima dana untuk projek berkenaan.

Seorang pegawai Malaysia yang masih berkhidmat memberitahu bahawa salah seorang daripada sekutu Low dalam 1MDB kemudian menghadiri mesyuarat untuk membincangkan projek paip itu.

Adalah dilaporkan semalam bahawa pinjaman bernilai RM9.4 bilion dari China Exim Bank yang bertujuan untuk projek SSER telah digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

WSJ memetik pegawai-pegawai Malaysia yang percaya bahawa sebahagian daripada pinjaman AS$ 2 bilion itu disalurkan kepada beberapa siri syarikat shell sebelum berakhir di Silk Road Southeast Asia Real Estate Ltd, sebuah syarikat China yang berpusat di Kepulauan Cayman.

Pemilik tunggal yang mendapat manfaat Silk Road dilaporkan adalah seorang pelabur Asia Barat, yang dipercayai oleh pegawai sebagai sekutu Low.

Adalah dimaklumkan di Dewan Rakyat pada 24 Ogos tahun lalu bahawa Silk Road membayar 1MDB 4.25 bilion yuan (RM2.7 bilion), atas dasar untuk membeli tanah milik dana pelaburan negara seluas 34 ekar di Ayer Itam, Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, Silk Road tidak pernah menerima tanah yang dibayarnya, memandangkan kerajaan negeri Pulau Pinang telah membekukan harta itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS