Bekas ketua Bahagian Umno yang kini merupakan anggota Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata beliau akan menarik semula saman berhubung penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma jika pampasan yang diberikan memadai kerugian yang ditanggungnya.

Khairuddin memberitahu Malaysiakini bahawa beliau bersedia menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah dengan kerajaan.

"Sekiranya pampasan yang diberikan atas kerugian dalam perniagaan saya.

"Saya ditekan begitu hebat dalam tahanan apabila Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan kleptokratiknya berkuasa," katanya kepada Malaysiakini.

Khairuddin sebelum ini memfailkan saman RM8.83 juta ke atas defendan yang terdiri daripada pegawai penyiasat kesnya, Wan Wan Aeidil Wan Abdullah, M Chelliah dan Habibi Majinji; bekas ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar; Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud dan Awang Armadajaya Awang Mahmud; bekas peguam negar Tan Sri Mohamed Apandi Ali; dan kerajaan.

Ia dibuat susulan penahanannya selama hampir dua bulan selepas ditahan tanpa mengikut undang-undang di bawah Sosma pada 2015.

Penahanan Khairuddin dikaitkan dengan dakwaan sabotaj kewangan selepas beliau dan peguamnya membuat laporan polis berkaitan skandal 1MDB di luar negara.

Khairuddin pada asalnya ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana didakwa terlibat aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen, sebelum ditukar kepada 124L di bawah sabotaj kewangan.

Pada Oktober 2015, Mahkamah Tinggi memutuskan penahanan Khairuddin dan peguamnya sebagai tidak mengikut mengikut undang-undang kerana ia bukan di bawah Sosma. Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mempertahankan keputusan itu.

Ketika pengurusan kes itu yang diadakan semalam, peguam Khairuddin, Mohd Haniff Khatri Abdulla berkata mahkamah menetapkan 29 September untuk sebutan kes seterusnya.

[Baca berita asal]