Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pua sindir Najib: Arul pakar kejayaan 1MDB
Diterbitkan:  Aug 2, 2018 1:52 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Tindakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mewajarkan pemberian bonus RM5 juta kepada bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy telah mendapat maklum balas ramai.

Antaranya daripada Anggota Parlimen Damansara, Tony Pua yang menyindir bekas perdana menteri itu dengan menyenaraikan keputusan Arul Kanda yang menyebabkan Najib begitu teruja.

Dalam suatu kenyataan hari ini, Pua menggesa rakyat Malaysia bertanya apakah yang dibuat Arul Kanda bagi mengurangkan hutang 1MDB sebanyak RM50 bilion menjadi RM30 bilion, sebagaimana yang dinyatakan Najib sendiri.

"Perkara pertama yang dilakukan Arul Kanda adalah melupuskan satu-satunya aset 1MDB yang membuat keuntungan iaitu loji jana kuasa dengan (harga) RM9.83 bilion dan ia (tindakan Arul) 'berjaya' menebus hutang 1MDB dengan jumlah yang sama.

Arul Kanda 'bijak, otak bergeliga'

"Bagaimanapun, seperti yang ditekankan banyak kali - perniagaan tenaga 1MDB pada asalnya diperolehi (dengan harga) RM12.1 bilion, yang bermakna penjualan itu menyumbang kerugian sebanyak RM2.27 bilion untuk 1MDB.

"Pastilah kerana seorang yang 'otaknya bergeliga' seperti Arul Kanda bagi membuat rancangan untuk menjual aset berharga syarikat itu dengan kerugian," kata Pua.

Ini dilakukan dengan dalih selepas menerima nasihat daripada Jawatankuasa Parlimen untuk Kira-kira Wang Negara (PAC), tetapi Pua menuduh Arul Kanda menyembunyikan fakta-fakta penting mengenai bagaimana cara hutang yang ditanggung oleh 1MDB akhirnya dipindahkan kepada pembayar cukai.

"Apa yang Arul Kanda tidak berupaya mengakui, beliau tidak hanya memindahkan hartanah Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia kepada MOF, ia (transaksi pemindahan itu) datang bersama bon sukuk RM2.4 bilion dan pinjaman RM800 juta dari Perkeso .

"Dengan sangat bijak, Arul Kanda berjaya mengurangkan hutang 1MDB sebanyak RM3.2 bilion," katanya.

Bagaimanapun, menurut Tony Pua, tindakan Arul Kanda "paling bijak" adalah berulang kali mendakwa 1MDB berjaya membayar hutangnya.

"Hakikatnya, kementerian kewangan (MOF) yang terpaksa secara rahsia membiayai semua pembayaran itu," kata Pua.

Sejak, pentadbiran Pakatan Harapan dibentuk, ia menyatakan pentadbiran Najib secara senyap-senyap telah memberi suntikan dana (bailed out) kepada 1MDB sebanyak RM7 bilion setahun.

Dikatakan dana yang diperoleh dari Bank Negara dan Khazanah Nasional telah digunakan untuk proses suntikan dana bagi menyelamatkan 1MDB itu.

Pada awal Jun, Malaysiakini telah melaporkan Arul Kanda dijanjikan bayaran ex gratia (bonus) RM5 juta yang dibayar dalam dua ansuran oleh Najib, yang menjadi bosnya sebagai menteri kewangan ketika itu.

Arul Kanda telah menerima bayaran ansuran pertama tetapi tidak boleh menuntut baki bayaran itu kerana telah pentadbiran baru HARAPAN telah menamatkan perkhidmatannya dua hari sebelum tempoh perjawatannya berakhir.

Akhirnya semalam, Najib mengumumkan pembayaran bonus RM 5 juta itu wajar dan memuji Arul Kanda yang dikatakannya telah berjaya menurunkan hutang 1MDB daripada RM50 bilion menjadi RM30 bilion.

Pentadbiran HARAPAN telah mengenakan sekatan perjalanan terhadap Arul Kanda.

Lihat Komen
ADS