Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan BN setuju bayar ex-gratia RM5j pada Arul Kanda?

EKSKLUSIF | Kementerian Kewangan bawah pentadbiran BN yang lalu bersetuju untuk memberikan bayaran ex-gratia berjumlah RM5 juta kepada Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan memberikannya cuti sehingga kontraknya tamat pada 30 Jun, kata sumber.

Malaysiakini juga melihat komunikasi antara Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah - Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu.

Menurut sumber, separuh daripada jumlah bayaran - RM2.5 juta - akan dibayar selepas kontrak Arul Kanda tamat. Malaysiakini tidak dapat mengesahkan sama ada separuh utama sudah dibayar atau tidak.

Malaysiakini tidak dapat menghubungi Najib, pembantunya atau Irwan bagi mengesahkan perkara itu. Arul Kanda juga tidak memberi maklum balas terhadap pertanyaan Malaysiakini.

Rabu lalu, Arul Kanda - yang diberi kontrak enam bulan - memberitahu Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang beliau diberikan cuti.

Ia menandakan beliau dalam proses meninggalkan syarikat itu tetapi diarahkan untuk tidak ke pejabat. Beliau bagaimanapun masih dibayar gaji.

Arul Kanda merupakan salah seorang pegawai utama 1MDB yang dipanggil Lim untuk memberi penjelasan tentang status syarikat itu.

Kementerian Kewangan adalah satu-satunya pemegang saham 1MDB.

Arul Kanda dibawa masuk menyertai syarikat itu pada Januari 2015 ketika ia berdepan masalah aliran wang tunai.

Beliau merupakan arkitek utama dalam Pelan Rasionalisasi 1MDB yang menjual aset-aset syarikat itu untuk membayar hutang yang ditanggung.

Namun begitu, kerajaan HARAPAN mendedahkan pentadbiran terdahulu telah membayar RM6.98 bilion bagi pihak 1MDB kepada peminjam.

Laporan sebelum ini mengesahkan sebanyak RM1.199 bilion ditebus daripada Khazanah Nasional Bhd Ogos lalu dan tanah kerajaan dijual kepada Bank Negara Malaysia Disember lalu bagi meraih dana.

Najib telah mempertahankan cara pentadbirannya menguruskan hutang 1MDB.

Beliau berkata Kementerian Kewangan telah memiliki aset 1MDB - termasuk hartanah - dan maka perlu menggalas kewajipan hutang syarikat itu.

Lihat Komen
ADS