Tiada konflik kepentingan bida kontrak GLC, kata syarikat Mokhzani
Syarikat pengeluar gentian optik, Opcom Group percaya tidak berlaku konflik kepentingan apabila ia membida projek daripada syarikat berkaitan kerajaan.
Ini selepas syarikat berkenaan yang dipengerusikan Datuk Seri Mokhzani Mahathir, yang merupakan anak kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima kontrak daripada Telekom Malaysia (TM).
Opcom diasaskan oleh adik Mokhzani yang juga Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Mukhriz merupakan pemegang saham terbesar dalam Opcom iaitu sebanyak 25 peratus, manakala Mokhzani sendiri merupakan ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan.
Baca: Syarikat Mokhzani dapat kontrak TM 5 hari lepas PRU
Dalam kenyataan akhbar kepada Malaysiakini hari ini, Opcom berkata ia bertindak secara profesional dan akan terus berbuat demikian tanpa mengambil kira komposisi ahli lembaga pengarah, pengurusan atau pemegang sahamnya.
"Opcom tidak melihat apa-apa percanggahan kepentingan dengan apa yang timbu bagi membida projek daripada GLC atau sebaliknya," katanya.
Pada Selasa lalu, Opcom mengumumkan syarikat itu pada 14 Mei menerima penganugerah kontrak bernilai RM11.16 juta daripada TM untuk memasang dan memulihkan perkhidmatan Unifi.
TM kemudian menjelaskan projek itu dianugerahkan melalui tender terbuka dan Opcom adalah antara 19 kontraktor yang dianugerahkan kontrak selama 17 bulan, bermula pada 2 Julai.
Baca: TM: Kontrak pada firma Mokhzani melalui tender terbuka, sebelum PRU14
Opcom berkata syarikat itu akan secara aktif membida projek dan kontrak melalui tender terbuka, tender rundingan, pelawaan cadangan (RFP) atau aturan komersial lain.
"Kami berharap dengan track rekod kami, kepakaran dan pengalaman di Malaysia dalam bidang gentian optik ini, ditambah dengan harga kompetitif dan berpengkalan di Malaysia akan meletakkan hubungan yang baik dengan pelanggan kami yang sedia ada dan akan datang.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan kami atas sokongan mereka yang berterusan dan berharap kami dapat berkhidmat dengan lebih baik dalam dunia digital yang pantas dan berkembang ini," katanya.

