Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Azizah: S'gor bawah HARAPAN, buat apa mahu tukar?

SG KANDIS | Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap pengundi di Sungai Kandis akan memilih calon Pakatan Harapan pada pilihan kecil DUN berkenaan yang akan berlangsung esok.

Wan Azizah juga menegaskan tiada keperluan untuk pengundi di kawasan itu menukar wakil rakyat PKR kepada BN.

“Kerusi ini kita isi dengan orang PKR, buat apa mahu bagi kepada mereka (BN).

“Selangor juga di bawah HARAPAN, jadi buat apa mahu tukar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ceramah mega akhir di Taman Sri Andalas, malam ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali pula berkata pengundi tidak wajar memberi BN walaupun satu kerusi seperti yang didendangkan.

“Walaupun hari ini mereka "main lagu" beri mereka satu kerusi, jangan beri kepada parti perompak dan pencuri di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita Wan Azizah menjelaskan ketidakhadiran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke ceramah mega akhir tersebut.

Wan Azizah berkata: "beliau (Anwar) tidak berapa sihat'.

Antara pimpinan HARAPAN yang turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

PRK Sungai Kandis menyaksikan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni akan ditentang oleh calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan seorang calon bebas, K Murthy.

PRK itu merupakan yang pertama selepas PRU14 berikutan kematian penyandang kerusi tersebut, Mat Shuhaimi Mat Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada 9 Mei lalu, Shuhaimi mempertahankan kerusi DUN itu untuk penggal ketiga, selepas memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Lihat Komen
ADS