Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jika PAS memberikan gred 'D' kepada prestasi kerajaan persekutuan sepanjang 100 hari mentadbir, Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan dan Terengganu pula masing-masing memberi markah 'gagal' dan 'C-' kepada dua negeri parti Islam itu.

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan Hazmi Hassan menyifatkan negeri itu tiada pembaharuan sejak mula ditadbir Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob pada 2013.

"Apakah kemajuan yang mampu dibawa PAS Kelantan selain meneruskan dasar sedia ada era allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat?

"Bagaimana pula dengan manifesto, sama ada untuk PRU ke-13 yang sudah luput tarikh atau pun manifesto terbaru. Sudahkah terlaksana apa yang dijanji?" soalnya dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Hazmi (gambar) membalas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memberikan 27 hingga 30 daripada 100 markah untuk HARAPAN menjelang genap 100 hari pentadbirannya esok.

Ia ekoran HARAPAN bukan saja gagal menunaikan janji malah mengumumkan perkara yang tidak termasuk manifesto mereka, kata Tuan Ibrahim.

Hazmi memulangkan paku buah keras dengan membangkitkan prestasi kerajaan Kelantan yang menurutnya gagal menangani masalah penduduk di sana.

Beliau antaranya membangkitkan isu pembangunan seperti perobohan tapak lama pasar besar Pasir Puteh yang hangat awal tahun ini serta konflik tanah antara Orang Asli Temiar dan sebuah syarikat di Gua Musang.

"Sekurang-kurangnya enam manifesto HARAPAN berjaya dilaksana atau dimulakan, termasuk akan mengembalikan hak royalti minyak Kelantan yang sekian lama dinafi BN," katanya lagi.

Dalam isu tanah di Gua Musang, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pihaknya sedia berbincang dengan kerajaan persekutuan tetapi tetap menegaskan ia bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

'Ulang program BN'

Di Terengganu pula, PAS kembali mentadbir negeri itu pada penggal ini selepas kali terakhir berbuat demikian pada 1999-2004.

Di bawah pentadbiran Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (gambar) selaku menteri besar, kerajaan negeri setakat ini belum terbabit dengan mana-mana skandal dan dilihat tidak mengundang banyak kritikan.

Namun bagi Ketua Pemuda AMANAH Terengganu Hasbi Muda, pencapaian kerajaan negeri setakat ini sekadar pada tahap 'C-'.

Beliau mendakwa masih belum ada perkara baru yang dilaksanakan, tetapi program kitar semula daripada pentadbiran BN.

"Misalnya karnival kahwin hanya pengulangan program perkahwinan perdana. Program air percuma juga sudah ada pada zaman BN.

"Dalam tempoh kira-kira 100 hari ini ada juga kekurangan dan kelemahan kerajaan negeri. Tapi HARAPAN Terengganu ambil sikap berdiam diri kerana kami faham realitinya bukan mudah jadi kerajaan, bukan mudah untuk tunaikan manifesto," katanya.

Beliau berkata pemimpin PAS juga patut faham akan perkara itu tetapi memilih untuk bersikap angkuh dan menyerang kerajaan HARAPAN.

Lihat Komen
ADS