Mesyuarat pertama suruhanjaya bebas Isnin Ini
Suruhanjaya siasatan kes wanita yang diarah melakukan ketuk ketampi dalam keadaan berbogel ketika dalam tahanan polis akan mengadakan mesyuarat pertamanya di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, Isnin ini.
Pengerusinya Tun Dzaiddin Abdullah berkata mesyuarat itu akan membincangkan isu-isu logistik dan beberapa perkara asas berkenaan penubuhan suruhanjaya itu.
Suruhanjaya siasatan kes wanita yang diarah melakukan ketuk ketampi dalam keadaan berbogel ketika dalam tahanan polis akan mengadakan mesyuarat pertamanya di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, Isnin ini.
Pengerusinya Tun Dzaiddin Abdullah berkata mesyuarat itu akan membincangkan isu-isu logistik dan beberapa perkara asas berkenaan penubuhan suruhanjaya itu.
"Perkara-perkara selanjutnya mengenai suruhanjaya itu akan dimaklumkan pada sidang akhbar Isnin ini selepas mempengerusikan mesyuarat pertamanya," katanya hari ini.
Menurut laporan Bernama, suruhanjaya itu yang bertujuan untuk menyiasat prosedur tetap operasi, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan berhubung pengendalian pemeriksaan tubuh membabitkan penangkapan dan penahanan polis, ditubuhkan semalam dan diberi tempoh 30 hari bekerja untuk menyiapkan laporan siasatan mereka.
Selain Dzaiddin, suruhanjaya itu dianggotai tiga lagi bekas anggota jawatankuasa Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Tan Sri Lim Ah Lek, Datuk Kamilia Ibrahim dan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia Khuthubul Zaman Bukhari.
Khuthubul pula memberitahu, pengalaman yang ada pada anggota-anggota suruhanjaya penambahbaikan polis itu akan memudahkan proses pelaksanaan suruhanjaya yang baru ini.
"Mereka semua mempunyai pengalaman luas ketika menganggotai Suruhanjaya PDRM dan saya percaya dengan berbekalkan pengalaman ini kami akan mencari penyelesaian yang terbaik dalam tempoh masa yang diberikan," katanya.
Beliau berkata semua perkara akan dihalusi berlandaskan lunas-lunas kemanusiaan, dan suruhanjaya tidak akan bertolak-ansur dengan sebarang tindakan pelanggaran hak asasi manusia.
"Negara kita merupakan sebuah negara yang mementingkan hak kemanusiaan dan tidak akan wujud ruang untuk mana-mana pihak melanggar hak tersebut dan suruhanjaya melihatnya dengan serius," katanya.
Suruhanjaya itu ditubuhkan selepas isu rakaman video wanita terbabit mendapat perhatian rakyat dan media setelah didedahkan oleh Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok pada 24 November lepas di lobi Parlimen.
Rakaman video 30 minit itu menunjukkan seorang wanita yang bogel, diarah membuat ketuk ketampi oleh anggota polis wanita.
Berikutan pendedahan itu banyak pihak membantah tindakan sedemikian dan menimbulkan rasa tidak puas hati dari Beijing sehingga meminta penjelasan berhubung insiden tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyifatkan insiden berkenaan sebagai memalukan serta menjejaskan imej polis, bertindak segera untuk menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat kes berkenaan.

