Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Gagasan pembangkang perpaduan resahkan HARAPAN
Diterbitkan:  Aug 20, 2018 11:49 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

PAS yakin kecerdikan politik mereka bukan saja terbukti mengekalkan kuasa parti itu di Kelantan malah akan terus memberi tekanan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

Kini tampil dengan gagasan baru yang dinamakan unity opposition (pembangkang perpaduan) - atau UO - Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata langkah parti itu memang akan meresahkan HARAPAN.

"Kecerdikan politik PAS ini - setelah mengekalkan pemerintahannya di Kelantan dan mengambil alih kerajaan Terengganu serta menambah kerusi di Pahang dan meraih 18 kerusi di Parlimen - akan terus menghantui HARAPAN.

"Kini (PAS) memperkukuhkan unity opposition (UO) dalam menghadapi beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sementara menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15 membuatkan HARAPAN tidak senang duduk," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasrudin yang juga bekas anggota parlimen Temerloh berkata demikian sebagai mengulas langkah terbaru PAS yang kini semakin ketara bekerjasama dengan Umno bagi menghadapi kerajaan pada PRK Seri Setia.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga sudah memberi arahan buat penyokong parti berkenaan untuk memberikan undi mereka kepada calon MCA, Tan Chee Teong, yang bertanding di PRK Balakong.

Semalam Abdul Hadi mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi MIC pula.

Atas pertimbangan politik

Sebelum ini PAS diserang dengan dakwaan mereka merancang mengadakan kerajaan perpaduan (unity government) atau bergabung dengan Umno namun ia dinafikan berkali-kali oleh parti terbabit.

Kata Nasrudin semasa PRK Sungai Kandis dan Seri Setia PAS mengambil sikap bertaawun (bekerjasama) dengan Umno namun ia berlangsung tanpa sebarang perjanjian politik yang mengikat kedua-dua pihak.

Di Balakong pula kata Nasrudin PAS melihat tidak ada keperluan untuk mereka meletakkan calon kerana komposisi pengundi Cina melebihi 60 peratus daripada lebih 562,000 pemilih berdaftar.


Baca PAS: Undi MCA di PRK Balakong sebab mereka rakyat Malaysia


Pada masa sama kata Nasrudin lawan politik PAS mengharapkan parti itu terus bercakaran dengan pembangkang lain.

"Presiden PAS menyatakan sokongan kepada MCA atas semangat pembangkang.

"Pasukan pembangkang mesti diperkukuhkan untuk menghakis ego pemerintah yang dilihat membawa kemudaratan besar kepada agama, rakyat dan negara jika dibiarkan.

"Sudah pasti keputusan yang dibuat ini berdasarkan pertimbangan politik semasa yang difahami daripada fiqh muwazanat (fikah timbangan membuat keputusan) dan fiqh al-waqi’ (fikah realiti)," katanya.

Lihat Komen
ADS