Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR perketatkan syarat bertanding, larang gambar berkumpulan

PKR memperkenalkan beberapa peraturan baru yang ketat untuk calon-calon pemilihan parti itu, termasuk menghalang mereka daripada mengadakan ceramah dan membuat jamuan makan besar-besaran dengan kehadiran lebih 100 orang.

Calon yang melanggar peraturan baru ini berdepan risiko tindakan tatatertib atau disingkirkan daripada bertanding dalam pemilihan parti sama sekali.

Peraturan baru itu terkandung dalam pekeliling yang bertajuk "Etika kempen pemilihan parti" yang dikeluarkan pada Ahad lalu dan ditandatangani oleh pengerusi jawatankuasa pusat pemilihan PKR, Datuk Rashid Din.

Dalam pekelilingitu, Rashid menjelaskan bahawa peraturan baru ini adalah penambahan kod etika pemilihan yang diedarkan oleh setiausaha agung parti pada 26 Jun.

Ia juga menyatakan bahawa pemilihan parti harus dilakukan dalam suasana yang
aman, damai dan sihat.

“Pemilihan ini juga diharapkan dapat mewujudkan dan menapis calon yang bertanding agar mereka yang terpilih adalah yang terbaik bagi membawa PKR ke tahap yang disegani dan sebagai pemerintah yang bebas dari amalan yang tidak sihat,” katanya.

Sehubungan itu, Rashid menasihati calon untuk mematuhi kod etika baru dalam kempen mereka.

Selain menghadkan saiz hadirin tidak lebih 100 orang, pekeliling PKR itu juga menghalang calon daripada menggunakan imej berkumpulan dalam bahan kempen.

“Poster, iklan dan apa-apa sahaja bahan kempen adalah untuk tujuan memperkenalkan calon dan mestilah mempamerkan wajah calon sahaja. Jangan pamerkan dalam bentuk berkumpulan.

“Ini termasuk dalam bentuk poster, banner, streamer, handbill dan sebagainya di mana ia dipamerkan di khalayak ramai," petik pekeliling itu.

Berikut senarai tata etika itu:

  • Tumpukan kempen kepada pencerahan tentang manifesto dan aktiviti yang akan ditawarkan bagi tujuan memperkukuhkan PKR
  • Gunakan potensi dan prestasi sendiri seperti gerak kerja, ketrampilan diri dan sebagainya untuk menarik perhatian anggota parti
  • Ditegah berceramah dan membuat jamuan makan besar-besaran – hadkan aktiviti ini kepada majlis tertutup dengan kehadiran 100 orang
  • Jangan gunakan budaya tuduh menuduh sesama calon. Ditegah sama sekali membuat serangan peribadi pada calon lain
  • Poster, iklan dan apa-apa sahaja bahan kempen adalah untuk tujuan memperkenalkan calon dan mestilah mempamerkan wajah calon sahaja. Jangan pamerkan dalam bentuk berkumpulan. Ini termasuk dalam bentuk poster, banner, streamer, handbill dan sebagainya dimana ia dipamerkan di khalayak ramai
  • Ditegah berkempen dengan cara kekerasan dan ugutan untuk meraih undi
  • Perbuatan membeli undi ditegah sama sekali

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS