Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mujahid: 4 jemaah M'sia koma, 10 meninggal dunia setakat ini

Penambahbaikan perkhidmatan kesihatan yang dilakukan Rombongan Perubatan (RP) Tabung Haji (TH) di tanah suci boleh dianggap berjaya apabila jumlah kematian dan jemaah yang dimasukkan ke wad berkurang setiap tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata inisiatif baru yang telah dijalankan oleh RP TH sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk penubuhan Pusat Rawatan Syisyah dilihat telah berjaya mencapai objektif dalam mengurangkan bilangan jemaah yang jatuh sakit dan meninggal dunia semasa di tanah suci.

"Pusat rawatan ini telah ditubuhkan dua tahun yang lalu dan penambahbaikan yang dilakukan pada tahun ini adalah perkhidmatan pembedahan mini, bilik isolasi dan dua buah ambulans mini," katanya kepada media selepas melawat Pusat Rawatan TH Syisyah di Mina, Arab Saudi hari ini.

Katanya berbanding dua tahun lepas, perkhidmatan di pusat rawatan itu telah banyak dipertingkatkan dari segi kualiti supaya jemaah haji Malaysia boleh mendapatkan khidmat perubatan yang terbaik di tanah suci dengan percuma

Mujahid berkata Program Safari Wukuf yang diperkenalkan bermula 2016 juga dilihat telah berjaya membantu para pesakit yang tidak mampu untuk berjalan untuk hadir di Padang Arafah semasa waktu wukuf dengan menaiki bas yang telah diubah suai menjadi hospital bergerak.

16 di hospital tempatan, 149 di pusat rawatan TH

"Bagi tahun ini, RP mempunyai lapan buah bas yang telah diubah suai untuk membawa 117 orang jemaah kita yang sakit bersama-sama 78 orang petugas kesihatan dan enam petugas kebajikan untuk menunaikan ibadah wukuf yang merupakan kemuncak kepada ibadah haji itu sendiri," katanya.

Bagaimanapun, katanya terdapat empat orang jemaah haji Malaysia yang tidak dapat berwukuf pada tahun ini disebabkan koma dan sedang ditempatkan di hospital Arab Saudi di Mekah.

Menurut Mujahid, 10 kematian dicatatkan pada musim haji 1439H setakat ini berbanding dengan 25 kematian jemaah haji Malaysia pada tahun lepas.

"Daripada 10 kematian tersebut, sembilan daripadanya meninggal dunia sebelum tarikh wukuf (di Arafah) manakala seorang jemaah kita meninggal selepas wukuf, dilaporkan akibat masalah jantung.

"Dari segi perbandingan (jumlah kematian pada tahun ini dan tahun lepas), ia menunjukkan bahawa persiapan dan inisiatif yang kita jalankan untuk mengurangkan kadar kematian telah berjaya," katanya.

Setakat ini, beliau berkata 16 orang jemaah Malaysia ditempatkan di hospital tempatan manakala 149 jemaah yang sakit pula ditempatkan di pusat-pusat rawatan TH, kesemuanya di Mekah.

Selain daripada penambahbaikan di pusat rawatan TH, Mujahid berkata pengenalan perkhidmatan kesihatan awam yang menjalankan ceramah dan lawatan dari bilik ke bilik juga turut membantu dalam mengurangkan jumlah pesakit dan kematian jemaah haji Malaysia tahun ini.

"Tahun ini, kita ada pegawai perubatan awam yang melawat dari bilik ke bilik untuk secara proaktif mengenal pasti lebih awal jemaah haji kita yang kurang sihat untuk mendapatkan rawatan awal dan seterusnya mencegah penyakit mereka daripada bertambah teruk menjelang wukuf," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS