Jemaah haji Malaysia menyambut baik pelaksanaan Kempen Kebersihan Perdana Masyair yang dilancarkan baru-baru ini apabila kawasan khemah dilihat bersih dan kemas daripada sampah-sarap.
Walaupun keletihan selepas beberapa hari menjalani ibadat masyair, tinjauan yang dilakukan di khemah jemaah Malaysia Maktab 82 mendapati jemaah Malaysia begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh menjayakan kempen yang julung-julung kali dilaksanakan ini.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata kempen kebersihan itu memberi impak yang sangat baik kepada jemaah haji Malaysia semenjak di Arafah menyaksikan khemah jemaah Malaysia adalah antara yang terbersih apabila ditinggalkan selepas ibadat wukuf selesai.
"Apabila mereka (jemaah) meninggalkan Arafah untuk ke Muzdalifah, laporan-laporan daripada pengurus-pengurus maktab menunjukkan khemah-khemah ditinggalkan dalam keadaan bersih dan baik serta tidak terdapat sampah-sarap.
"Begitu juga perihalnya semasa meninggalkan Muzdalifah, kawasan jemaah haji kita dilihat sangat bersih daripada sampah-sarap berbanding dengan kawasan khemah negara lain," katanya kepada media selepas meninjau pelaksanaan kempen kebersihan Maktab 81 di Mina, Arab Saudi hari ini.
Ini katanya membuktikan bahawa jemaah haji Malaysia mampu melakukan perubahan untuk menjaga kebersihan seterusnya menjadi jemaah haji contoh kepada negara-negara lain.
Syed Saleh berharap semangat dan kesungguhan yang tinggi jemaah Malaysia ini dapat diteruskan semasa di Mina dan setidak-tidaknya mengekalkan kebersihan khemah seperti waktu mereka tiba apabila mereka berangkat pulang ke Makkah.
Peka persekitaran, tak buang sampah merata
Sahabat Maktab Faiz Sahri, 46 menyifatkan program gotong-royong itu satu projek yang cukup bagus kerana dapat menjadikan jemaah lebih peka kepada kebersihan persekitaran dan menghindari sifat sambil lewa dan membuang sampah merata-rata.
"Dengan kehadiran Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman di khemah jemaah pada hari ini, jemaah nampak lebih bersemangat untuk bersama-sama menjayakan program kebersihan," katanya.
Program-program seumpama itu katanya patut diteruskan pada tahun-tahun akan datang kerana ia mencerminkan bukan sahaja sikap rakyat Malaysia itu sendiri, tetapi juga peribadi sebagai seorang Muslim yang begitu dekat dengan kebersihan.
Kempen Kebersihan Perdana Masyair yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa merupakan antara inisiatif baharu dalam operasi haji bagi musim 1439H tahun ini.
Program yang dilancarkan pada 17 Ogos lalu itu bermatlamat menggalakkan para jemaah haji Malaysia membersihkan sendiri khemah mereka secara bergotong-royong semasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Kempen kebersihan akan dilaksanakan secara kendiri semasa di Arafah dan Muzdalifah manakala ketika di Mina, kempen itu akan dijalankan secara beramai-ramai bermula 8 hingga 9 pagi untuk ketiga-tiga hari tasyrik.
- Bernama
