Berita Malaysiakini

Dr M: Projek dengan China masih dalam kajian

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan bahawa kajian masih dilakukan sama ada projek sokongan China seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menelan belanja berbilion-bilion ringgit ditunda atau diteruskan menerusi cara lain.

“Buat masa sekarang kita masih mengkaji sama ada hendak ditunda atau diberikan kepada pihak lain. Tetapi kita juga telah berunding dengan mereka (China) sekiranya mereka setuju (kemudian) kita boleh lakukan,” katanya.

Perdana Menteri ditanya mengenai laporan akhbar yang memetik beliau sebagai berkata ketika lawatan ke China baru-baru ini bahawa kerajaan membuat keputusan membatalkan projek ECRL buat masa sekarang.

“Apa yang saya katakan ialah jika kita boleh kita akan membatalkan projek atau menangguhkannya atau mencari cara lain melakukannya tanpa perbelanjaan wang yang banyak.” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sessi town hall bersama anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang beliau merupakan pengerusi.

ECRL, projek bernilai RM81 billion yang meliputi jarak sejauh 688 km menyambungkan Pelabuhan Klang Selangor dan Kota Bharu Kelantan dilancarkan tahun lepas and di jangka siap pada 2024.

Sebuah lagi projek sokongan China, saluran paip gas Trans Sabah (TSGP) melibatkan pembinaan 662 km saluran paip gas dari Kimanis ke Sandakan dan Tawau yang menelan belanja RM4 billion telah digantung sejak Julai.

Ditanya sama ada beliau mendapat pinjaman dari China ketika lawatan rasmi ke negara itu dari 17-21 Ogos lepas , Dr Mahathir menjawab, "Tidak..tidak… kita telah meminjam cukup dari China."

Beliau juga ditanya tentang beberapa laporan yang mendakwa Malaysia mungkin tidak dapat pinjaman yen yang diminta ketika lawatannnya ke Jepun pada Jun.

“Siapa kata kita tak dapat pinjaman Yen itu. Maksud saya anda tidak boleh pergi kepada perdana menteri dan berkata tolong beri saya pinjam yen dan beliau tulis cek buat saya. Ia harus dilakukan secara teratur.

“Para pegawai kita sedang menguruskan pinjaman yen itu,” katanya.

- Bernama