Paling Popular
Terkini

ULASAN | Kenyataan media ini merujuk kepada dua perkara yang saling berkaitan.

Pertama, tulisan seorang pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan yang melampirkan sebahagian teks khutbah Aidiladha Dewan Ulama PAS Kelantan dalam media sosialnya.

Kedua, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang disiarkan dalam Malaysiakini bertarikh 25 Ogos 2018 yang bertajuk "Agama harus bebas dari politik, kata Mujahid".

Kedua-dua kenyataan itu cuba mengelirukan rakyat daripada isu pokok yang berlaku.

Khutbah Aidiladha bukan saluran dakyah, menyebar fitnah dan menanam kebencian terhadap pemerintah dengan menggunakan sentimen agama seperti mana yang didakwa.

Merujuk kepada teks khutbah tersebut pada muka surat ketujuh:

"Keterlibatan mereka dalam aktiviti hubungan sejenis yang songsang dan menukar jantina sama ada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya yang ditegah oleh agama Islam sepatutnya diambil tindakan tegas oleh pihak kerajaan bukan semakin melayan dan memenuhi tuntutan mereka".

Apakah sedutan teks khutbah ini dikatakan dakyah, fitnah dan menanam kebencian terhadap pemerintah? Sebaliknya apakah tindakan tegas yang telah diambil oleh kerajaan untuk membendung masalah LGBT, khususnya golongan transgender di negara ini?

Bagaimana sikap yang ditunjukkan oleh menteri ketika berdiskusi dengan aktivis transgender Nisha Ayub? Apa tindakan tegas menteri tentang majlis praperkahwinan individu transgender?

Mengapa menteri agama tidak mengambil tindakan tegas dan berkesan terhadap penganjur parti gay terbesar yang akan diadakan penghujung Ogos selama 3 hari di G Tower Kuala Lumpur?

LGBT ialah realiti yang semakin parah di Malaysia. Tidak cukup hanya dialog dan kenyataan media sahaja tanpa mengambil tindakan tegas untuk mencegah perbuatan tersebut daripada berlarutan.

Kebejatan ini mesti sentiasa diingatkan kepada rakyat untuk menolak dengan tegas perlakuan sumbang yang diharamkan dalam Islam.

Apa saja ruang untuk menimbulkan kesedaran mesti dimanfaatkan kerana golongan ini juga telah memanipulasi pelbagai cara untuk mempromosi budaya songsang mereka.

Kumpulan ini bukan sekadar melakukannya secara private bahkan sudah berani mencabar pihak berautoriti agama di mahkamah.

Oleh sebab itu, tujuan berpolitik ialah untuk memartabatkan agama dan menjaga kemaslahatan ummah. Perkataan politik atau siyasah antaranya merujuk kepada memimpin atau mentadbir manusia ke arah kebaikan.

Siyasah terbahagi kepada dua :

Pertama, siyasah yang memimpin manusia menurut kehendak syariah dan pemimpin bertindak memelihara agama serta mengurus dunia dengan agama.

Kedua, siyasah yang memimpin manusia menurut kehendak manusia dan menolak agama.

Maka, bagaimanalah urusan Islam itu boleh dipisahkan dengan politik. Kelak politik tanpa agama itu akan terdedah kepada perkara mungkar yang diharamkan oleh syarak.

Justeru politik mesti diluruskan dengan petunjuk Allah SWT dan pedoman agama yang diwahyukan oleh-Nya.

Tidak mungkin politik boleh dipisahkan daripada agama.


NASRUDIN HASSAN ialah ketua penerangan PAS Pusat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS