Paling Popular
Terkini

Sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia pastinya berbeza kali ini berbanding tahun-tahun sebelumnya, berikutan PRU ke-14 yang penuh bersejarah.

Untuk kali pertama, rakyat Malaysia melihat peralihan kuasa di peringkat persekutuan.

Bagi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ia seperti kemerdekaan kali kedua - kali ini daripada kerajaan kleptokrasi.

"Sebelum ini, kita menuntut kemerdekaan daripada British. Kali ini, kita mendapat merdeka daripada kerajaan kleptokratik dan autokratik.

"Ia adalah sesuatu yang perlu kita raikan. Adakah anda mahu teruskan dengan yang dahulu? Tentunya tidak. Anda akan bankrap akibat meminjam dan sebagainya!

"Bagi saya, ini adalah kemerdekaan baru, merdeka yang kedua," pesan beliau bersempena Pesta Harapan Malaysia anjuran Events@Kini tidak lama lagi.

Mahathir berkata, sambutan kali ini akan memberi penuh makna terutama buat golongan muda.

"Saya dapati untuk orang berusia, sukar untuk mengubah minda mereka. Tetapi orang muda perlu gunakan kebebasan yang dinikmati ini untuk membina semula negara ini berdasarkan idealisme mereka sendiri," katanya.

Katanya lagi, tidak mustahil untuk Malaysia mencapai taraf negara maju jika generasi muda tekad untuk meraihnya.

"Orang muda hari ini perlu lengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran bagi membina sebuah negara yang hebat.

"Jika anda rasa apa yang berlaku sekarang sudah baik (dan) tidak perlu berusaha lebih, maka ia akan terus begini. Tetapi jika anda fikir sebaliknya, anda boleh bina negara yang lebih baik.

"Orang muda yang mampu melakukannya, bukan orang yang sudah tua."

Pesta Harapan Malaysia akan berlangsung pada 15 September ini di Padang Timur, Petaling Jaya, turut menampilkan Konsert Unity yang akan bermula pada pukul enam petang.

Antara artis tanah air yang akan membuat persembahan ialah Estranged, Jaclyn Victor, Bunkface, Soo Wincci, Couple, Mad August serta pelawak Papi Zak dan Kavin Jay.

Empat lagi acara utama festival ini adalah sesi diskusi townhall, larian LED Harapan, pertandingan World Electronic Sports Games (WESG) dan sidang keusahawanan ALIBABA.

Ia acara yang julung kali diadakan Events@Kini - bahagian pengurusan acara Malaysiakini - dan dianjurkan dengan kerjasama UniFi, AirAsia, Boost, Malindo Air dan Country Heights Holdings Bhd.

Lihat Komen
ADS