Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno: Akui k'jaan nak hapus BR1M sebab hilang hasil GST
Diterbitkan:  Aug 28, 2018 8:37 AM
Dikemaskini: 2:24 AM

Exco Pemuda Umno, Shahrul Nasrun Kamaruddin menggesa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berdalih atas rancangan pentadbirannya mahu menghentikan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang sekarang msih diteruskan atas nama Bantuan Sara Hidup (BSH).

Shahrul berkata BR1M sama seperti bantuan kerajaan lainnya, ia membantu meringankan beban golongan miskin.

"Justeru, Tun Dr. Mahathir janganlah berdalih dengan mengatakan BR1M membuatkan rakyat akan bersikap 'manja' atau malas dan hidup bergantung 'tongkat' kerajaan.

"Akui sahaja pengumuman mengurangkan dan seterusnya menghapuskan BR1M kerana kerajaan bakal kekurangan pendapatan kesan daripada pemansuhan GST yang menyebabkan negara kehilangan berpuluh bilion," katanya dalam suatu kenyataan malam tadi.

Kerajaan yang dipimpin Pakatan Harapan menjenamakan semula BR1M sebagai BSH dan masih meneruskan pemberian bantuan tersebut pada bulan Mei.

Pada 25 Ogos, Mahathir berkata pentadbirannya menyasarkan untuk mengurangkan pemberian BR1M sedikit demi sedikit sebelum dihentikan dan beliau berkata HARAPAN akan menyediakan peluang pekerjaan sebanyak mungkin melalui pelaburan asing dan dalam negeri.

Menurut Shahrul, ini menunjukkan HARAPAN mungkir janji pilihan raya, memandangkan Mahathir pernah berjanji pada tahun lalu bahawa BR1M akanditeruskan jika HARAPAN menang PRU14.

"Kerajaan HARAPAN diingatkan tidak terus menzalimi rakyat dengan memansuhkan bantuan-bantuan rakyat yang dibuat oleh Kerajaan terdahulu. Bagi saya, BR1M atau apa pun nama kerajaan HARAPAN ingin perkenalkan wajar dikekalkan dan perlu penambahbaikan untuk memastikan rakyat berpendapatan rendah terbela.

"Sekiranya BR1M dihapuskan tatkala isu kos sara hidup masih lagi menghimpit rakyat ia membuktikan kerajaan HARAPAN di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir gagal menjuarai isu-isu rakyat berbanding Kerajaan terdahulu," katanya.

Untuk tahun ini, keluarga dengan pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 akan mendapat BSH berjumlah RM1,500. Keluarga dengan pendapatan isi rumah antara RM3,000 dan RM4,000 akan menerima RM900, manakala RM450 bagi individu yang berusia lebih 21 tahun.

Lihat Komen
ADS