Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno Kelantan: Nafas baru MSC idea lapuk Dr M

Hasrat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi nafas baru projek Koridor Raya Multimedia (MSC) ditanggapi Pemuda Umno Kelantan sebagai idea lapuk.

Ketua Pemuda negeri, Nor Hariri Mohamed Noor berkata, projek yang diilhamkan Dr Mahathir pada tahun 1996, lebih 22 tahun lalu itu cuma dikitar semula dan tiada perkara baru.

"Kita bimbang MSC 2.0 ini akan menjadi medan utama kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menabur fitnah terutama ke atas rekod-rekod cemerlang kerajaan BN yang terdahulu.

"Sepatutnya dalam era kini yang arus perkembangan teknologinya sangat pantas berkembang, kerajaan mencadang serta merencanakan rancangan-rancangan yang lebih segar dan dinamik, bukan hanya bernostalgia dengan pencapaian masa silam," katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan kerajaan di bawah pentadbiran beliau akan memberi nafas baru terhadap Koridor Raya Multimedia dan Cyberjaya sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.

Tuding jari pada pembangkang

Menurut beliau, kerajaan akan memberi lebih tumpuan dalam teknologi baru dan aplikasinya terutama untuk pentadbiran.

Sementara itu, Noor Hariri berkata pihaknya yakin rakyat sebenarnya tertunggu-tunggu idea serta iltizam baru kerajaan HARAPAN yang begitu berkeyakinan tinggi memberi seribu pengharapan kepada rakyat Malaysia sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Namun apa yang berlaku, sehingga kini kerajaan masih gagal membuahkan satu atau lebih idea baru yang benar-benar menyakinkan rakyat.

"Apa yang berlaku hari ini, kerajaan dilihat cuba menutup kelemahan mereka mengurus tadbir negara dengan menuding jari kepada pembangkang.

"Justeru kita berpandangan idea mencetuskan MSC 2.0 hanyalah satu idea yang tidak memberi manfaat langsung kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40), yang mana golongan ini seharusnya menjadi keutamaan kerajaan hari ini, sebagaimana yang pernah dilakukan BN," katanya.

Lihat Komen
ADS