Najib kemuka dalil beliau tak jual negara kepada China
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersyukur kerana kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh membuktikan bahawa beberapa tuduhan termasuk beliau menjual negara ini kepada China adalah tidak betul.
Katanya, beliau dicaci teruk terutama dari orang Melayu, yang konon dirinya menjual negara ini sehingga nama jalan pun mesti menggunakan nama bersempena negara China.
Najib merujuk papan tanda di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) yang menggunakan "Jalan Qinzhou".
“Kebenarannya ialah, MCKIP merupakan Taman Perindustrian berkembar dengan Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (QCMIP) di bandar Qinzhou di negara China.
“Perjanjian persefahaman Taman Perindustrian berkembar ini juga melibatkan satu jalan di bandar Qinzhou dinamakan Lebuh Kuantan.
“Lebuh bermaksud ‘jalan besar’ dan Lebuh Kuantan di QCMIP ini jauh lebih besar dari Jalan Qinzhou di MCKIP,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
MCKIP dimiliki oleh Malaysia dengan pegangan 51 peratus saham manakala syarikat-syarikat dari China dengan 49 peratus.
CMQIP pula dimiliki oleh China dengan 51 peratus pegangan saham dan 49 peratus oleh Malaysia dengan keluasan tiga kali ganda lebih besar daripada MCKIP di Kuantan.
Menurut Najib, CMQIP kini juga sangat berjaya dan hasil pengeluaran kilang-kilang di sana telah mencecah RMB10 billion (RM6 bilion) untuk tahun 2017 sahaja.
Najib turut mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu merobohkan tembok yang didakwa mengelilingi MCKIP dan dilabelkannya sebagai 'Tembok Besar China Kuantan',
Memetik kenyataan Fuziah bahawa tembok berkenaan hanya mengelilingi kilang Alliance Steel sahaja dan bukan seluruh taman perindustrian, katanya diharap penjelasan itu dapat menangkis satu lagi tomahan yang dilemparkan terhadap kerajaan BN sebelum ini.

“Kilang besi bukan tempat selamat buat orang awam keluar masuk dengan mudah. Oleh itu, bukan sesuatu yang mengejutkan jika kilang itu membina tembok sebagai langkah pengawalan dan keselamatan.
“Ini dah diperjelaskan sebelum ini tapi tenggelam dengan fitnah disebar HARAPAN.
“YB Fuziah memberitahu wartawan bahawa beliau akan menjelaskan kepada Dr Mahathir tidak lama lagi,” katanya.
Menurut Najib, Fuziah juga mengakui bahawa ramai dari kawasan parlimen beliau menghargai peluang pekerjaan di MCKIP dan beliau tidak mahu pekerjaan mereka terjejas..
“Alhamdulillah, satu lagi fitnah sebelum PRU14 terhadap kerajaan BN dulu telah diperbetulkan. Yang baik dituduh sebagai buruk,” kata Najib.
Dalam laporan sebelum ini, Fuziah berkata, kerajaan sebelum ini tidak mengetahui berkenaan tembok tersebut kerana dihalang memasuki kawasan berkenaan sekali gus menyukarkan mereka mengetahui apa yang berlaku di sebalik tembok tersebut.

Najib dalam hantarannya juga menjelaskan bahawa kilang Aliance Steel itu bukan sahaja membabitkan pelaburan asing RM5.5 billion tetapi menyediakan pekerjaan kepada 4,000 anak tempatan.
Katanya, jika mengambil kira kilang-kilang lain di MCKIP, puluhan ribu peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia telah diwujudkan dan juga banyak mengekspot produk keluaran mereka.
Dr Mahathir selepas pulang dari China minggu lalu, mengumumkan hasratnya mahu melihat tembok yang mengelilingi MCKIP dirobohkan.
Katanya, beliau sedang cuba meletakkan semula pihak berkuasa Malaysia di kawasan itu dan telah membangkitkannya kepada Beijing.

