Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kaum India tanpa IC: 'MIC putar belit statistik KDN'

MIC sengaja memutarbelitkan kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu status kewarganegaraan melibatkan kaum India di Malaysia, kata seorang pemimpin PKR Melaka.

Naib Pengerusi PKR Melaka G Rajandran mengulas kenyataan Naib Presiden MIC Datuk T Mohan yang menggesa Pakatan Harapan (HARAPAN) memohon maaf kerana sebelum ini mendakwa sejumlah 300,000 masyarakat India tidak mempunyai status kewarganegaraan.

Ia selepas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman bahawa angka itu dikumpul sendiri oleh HARAPAN dan kementerian hanya menerima 3,853 permohonan setakat 31 Mei lalu.

"(Penjelasan KDN) menunjukkan pemimpin HARAPAN telah memperdaya masyarakat India dengan maklumat palsu," kata Mohan.

Rajandran berkata angka itu bukan bermaksud hanya ada 3,853 kes status kewarganegaraan tetapi hanya jumlah itu yang membuat permohonan.

"Masih ada lagi yang tidak berdaftar dengan JPN. Nampaknya MIC cuba memutarbelitkan kenyataan KDN," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata MIC yang sepatutnya memohon maaf kepada masyarakat India kerana gagal menyelesaikan isu itu selama 61 tahun menjadi kerajaan.

Namun Azis ketika sesi soal jawab di Parlimen pada 27 Ogos lalu juga menyifatkan angka 300,000 itu sebagai "tidak tepat dan tidak benar", seperti dilapor Berita Harian.

Kenyataan itu mengundang kecaman daripada peguam N Surendran dan anggota parlimen Klang Charles Santiago kerana Azis tidak mengambil kira permohonan yang ditolak serta mereka yang tidak membuat permohonan atas pelbagai sebab.

Rajandran mengakui ramai di kalangan masyarakat India yang sudah berputus asa untuk memohon status warganegara.

"Kita tidak tahu angka sebenar. Ketika program Mydaftar pada 2017, Jabatan Pendaftaran Negara berkata terdapat 12,000 permohonan.

"Setakat ini tiada statistik sebenar...Yang jelas masalah kewarganegaraan kaum India bukan 3,853 kes sahaja seperti yang cuba dimainkan MIC,"katanya lagi.

Rajandran menggesa kerajaan HARAPAN segera menyelesaikan masalah itu yang merupakan sebahagian daripada manifesto PRU ke-14.

"Segerakanlah menunaikan janji kita. Taraf kewarganegaraan adalah hak paling utama dan asas setiap individu di Malaysia," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS