Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid: Sebat pesalah syariah proses biasa undang-undang
Diterbitkan:  Sep 3, 2018 9:28 PM
Dikemaskini: 1:58 PM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata pihaknya mengambil pendirian bahawa hukuman sebat ke atas dua pesalah syariah di Terengganu hari ini dijalankan mengikut proses undang-undang negeri.

Katanya, pihaknya turut mengikut perkembangan kes tersebut dan difahamkan hukuman dijatuhkan mengikut kaedah Islam.

"Saya difahamkan mereka mengakui bahawa mereka melakukan kesalahan iaitu termaktub dalam Akta Enakmen Musahaqah (musahaqah ialah kesalahan perempuan dengan perempuan).

"Mereka diberi tempoh 14 hari rayuan dan mereka tidak mengemukakan rayuan.

"Saya juga difahamkan kaedah mereka dikenakan sebatan itu juga mengikut kaedah Islam yang tidak menyakitkan, so selagi perkara itu dipatuhi dan ada peruntukan undang-undang, maka bagi saya itu satu proses undang-undang biasa yang dilalui oleh sesiapa yang melakukan jenayah,” tegasnya seperti dipetik Bernama.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan buku 'Suatu Perjalanan Hidup' oleh Prof. Datuk Dr. Denison Jayasooria di Universiti Kebangsaan Malaysia dekat Kuala Lumpur hari ini.

Mujahid berkata demikian ketika diminta mengulas hukuman ke atas dua wanita yang menjalani hukuman enam kali sebatan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu setelah didapati bersalah melakukan hubungan sejenis dalam sebuah kereta pada April lalu.

Lihat semula kehadiran orang awam

Bagaimanapun beliau berkata aspek kehadiran orang awam sewaktu proses sebatan perlu dilihat semula.

"Ia (peruntukan) perlu dilihat, sama ada orang awam boleh hadir sekali.

"Sama ada pegawai (pihak berkuasa) dua tiga orang sudah boleh dikira sebagai orang awam. Bagi saya itu proses teknikaliti dan boleh dibawa ke perdebatan,” katanya.

Menurutnya, jika ada pihak ingin mengeluarkan atau menghapuskan peruntukan tersebut, ia perlu dibawa mengikut undang-undang enakmen negeri masing-masing.

Jelasnya lagi, sama ada golongan lesbian, gay atau sebagainya, setiap individu akan diadili mengikut proses dan saluran yang sama sebaik sahaja sesuatu tangkapan itu dilakukan.

"Kepada masyarakat, semua ini tentu dibuat untuk kebaikan. Orang Islam khususnya, sudah tahu mana-mana perkara yang dilarang dan sepatutnya mengambil hal ini sebagai pengajaran.

"Hukuman dalam Islam bukan untuk menyakitkan tetapi lebih kepada pengajaran kepada yang lain-lain supaya kembali kepada fitrah,” katanya.

Lihat Komen
ADS