Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Khir Toyo-Lim jauh panggang dari api, kata Hanipa
Diterbitkan:  Sep 5, 2018 11:56 AM
Dikemaskini: 4:02 AM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng adalah “jauh panggang dari api” dan wajar diberikan layanan sama.

Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, Hanipa, yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal undang-undang, menyifatkan perbandingan antara kedua-dua kes itu sebagai tidak cermat dan malah adalah gopoh.

“Cukuplah jika saya kata saya berbohong pada diri saya jika saya kata kedua-dua kes itu adalah sama dan wajar diberikan layanan yang sama.

“Saya masih ingat ungkapan bahawa diskriminasi juga berlaku jika kita treat unequal as equal.

“Orang Melayu kata kedua-dua kes itu jauh panggang dari api. Orang putih pula kata the two cases are poles apart.

“Orang Arab pula akan kata memberi analogi kes YB Menteri Kewangan dengan kes mantan MB Selangor adalah, dengan hormat, qiyas ma'a al-fariq (mudahnya qiyas yang tidak serupa/ berbeza),” kata  Hanipa yang juga adalah ahli parlimen Sepang.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan bekas ketua menteri Lim Guan Eng daripada dua tuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah negeri dan pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Keputusan itu dibuat selepas Pejabat Peguam Negara menerima representasi daripada peguam Lim dan menggugurkan kes berkenaan.

Timbalan pendakwa raya memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan, namun hakim memutuskan untuk membebas dan melepaskan Lim daripada tuduhan berkenaan.

Susulan itu, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Noraini Ahmad semalam membuat perbandingan kes tersebut dengan kes rasuah Dr Khir pada tahun 2005.

Dr Khir dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya pada tahun 2015 kerana menerima dua lot tanah di Shah Alam bernilai RM3.5 juta untuk dirinya dan isterinya.

Noraini juga mempersoalkan mengapa dalam kes Lim yang sudah dikenakan pendakwaan dan perbicaraannya telah pun bermula tetapi peguam negara memutuskan pendakwaan kes tidak diteruskan.

Katanya, tindakan itu menimbulkan rasa pelik kepada orang ramai dan belum separuh kes dibicarakan, sudah diberhentikan.

Menurutnya, sekurang-kurangnya rakyat melihat sebelumi ini tiada campur tangan peguan negara dalam kes yang melibatkan Dr Khir.

Menjawab bidasan itu, Hanipa berkata, gesaan supaya kes Lim dibicarakan sepenuhnya adalah adil dan munasabah.

A fair and reasonable view. Cuma, jika itu hujahnya, tidak perlulah ada doktrin nolle prosequi (pihak pendakwa membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan).

“Tidak perlulah ada seksyen 254 CPC .Dan tidak perlulah AG ada kuasa/budibicara untuk tidak teruskan kes di bawah Perkara 145 ( 3 ) Perlembagaan Persekutuan tanpa wajib beri sebarang alasan,” katanya.

Justeru, menurut Hanipa analogi yang dibuat itu tidak cermat dan gopoh. Namun, katanya, dalam kerangka kebebasan bersuara, pandangan berkenaan perlu dihormati walau pun sama ada pendapat itu betul atau tidak, ia isu lain.

Sebaliknya, kata pemimpin MANAH itu, toleransi adalah intipati demokrasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS