Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Saya laksanakan undang-undang tanpa pengaruh luar’
Diterbitkan:  Sep 4, 2018 5:56 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Jabatan Peguam Negara menolak dakwaan bahawa keputusannya untuk menggugurkan kes rasuah ke atas Menteri Kewangan Lim Guan Eng adalah bermotivasi politik, ataupun Peguam Negara, Tommy Thomas terbabit dalam keputusan itu.

Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan / Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria berkata beliau adalah individu yang memutuskan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Lim dan ahli perniagaan Phang Li Koon setelah ditugaskan membuat keputusan berhubung representasi yang dibuat oleh kedua-dua tertuduh.

Sebelum ini, Hanafiah tidak tidak pernah terlibat dengan kes berkenaan.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya membuat keputusan berhubung representasi tersebut tanpa sebarang pengaruh luar. Malahan, terdapat satu firma guaman yang mewakili pengadu telah menghantar surat yang membantah sebarang cadangan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon.

“Saya telah menjawab surat tersebut dengan mengatakan bahawa saya akan memutuskan kes tersebut berdasarkan bukti yang sedia ada dan berlandaskan undang-undang, yang mana telah saya lakukan, tanpa sebarang pilih kasih.

“Keadilan adalah keutamaan saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh Hanafiah:

1. Di sini saya ingin menjelaskan bahawa keputusan “nolle prosequi” (iaitu di mana pihak pendakwaan membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan) berhubung pertuduhan terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon telah dibuat tanpa sebarang penglibatan oleh Peguam Negara. Perkara ini pernah dijelaskan dalam kenyataan akhbar bersama yang dikeluarkan pada 2 Ogos 2018 oleh Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah binti Engku Atek dan Peguam Cara Negara II, Datin Paduka Zauyah Be binti Loth Khan yang mana kenyataan tersebut telah memaklumkan bahawa Peguam Negara telah menarik diri daripada semua perbincangan berkaitan dengan kes tersebut dan tidak akan terlibat dalam membuat sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh Jabatan Peguam Negara.

2. Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara telah mengambil pendekatan “fresh eye”, dan saya telah diberi tanggungjawab untuk membuat keputusan berhubung representasi yang dibuat oleh kedua-dua Lim Guan Eng dan Phang Li Koon. Ini memandangkan saya tidak pernah terlibat dengan kes tersebut dan dipercayai akan dapat memberi pertimbangan terhadap kes tersebut dari perspektif yang baharu.

3. Setelah diberi penugasan tersebut, saya telah meneliti keterangan- keterangan berdasarkan penyiasatan yang dilakukan oleh SPRM, dan juga keterangan-keterangan yang telah dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan di mahkamah yang telah diuji dengan pemeriksaan balas. Saya membuat kesimpulan bahawa hasil pemeriksaan balas yang dilakukan terhadap saksi-saksi pendakwaan, keterangan yang menyokong pertuduhan pertama dibawah seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pertuduhan kedua dibawah seksyen 165 Kanun Keseksaan telah dilemahkan secara substantif. Kesimpulan ini dicapai berdasarkan keterangan baharu yang timbul semasa pemeriksaan balas terhadap saksi-saksi pendakwaan.

4. Setelah membuat kesimpulan-kesimpulan tersebut, saya berpandangan bahawa saya mungkin tidak memenuhi tanggungjawab saya sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk membiarkan kes diteruskan setelah mengetahui bahawa kes terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon tidak akan berjaya pada akhir kes pendakwaan. Maka dengan itu, saya membuat keputusan supaya pihak pendakwaan “nolle prosequi” pertuduhan-pertuduhan terhadap kedua- dua tertuduh berdasarkan seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

5. Semalam, pada jam 7:18 pagi, saya telah memaklumkan keputusan saya kepada Dato’ Masri Mohd Daud, yang merupakan Pengarah Bahagian Undang-Undang dan Pendakwaan, SPRM dan yang juga merupakan seorang Timbalan Pendakwa Raya, yang ketika itu berada di Pulau Pinang. Walaupun pihak pendakwaan memohon kepada Mahkamah untuk satu perintah “pelepasan tanpa terjumlah kepada pembebasan”, Mahkamah telah memutuskan untuk satu perintah pelepasan dan pembebasan. Keputusan Mahkamah ini dibuat berdasarkan permohonan pihak pembelaan dan telah dibuat mengikut seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah.

6. Saya ingin menegaskan bahawa amalan untuk “nolle prosequi” bukanlah sesuatu amalan yang luar biasa. Perkara ini telah diamalkan dalam kes-kes lain apabila menerima representasi daripada pihak peguam dan setelah menemui keterangan baru atau apabila keterangan menjadi lemah setelah diperiksa balas oleh pihak pembelaan. Berhubung kes terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon, terdapat bukti baru yang tidak dipertimbangkan sebelum ini.

7. Adalah perlu ditegaskan bahawa keputusan untuk memulakan atau menamatkan pendakwaan merupakan satu kuasa dan budi bicara Pendakwa Raya. Dalam kes ini, saya telah merahsiakan keputusan saya sehingga ke saat akhir dan tidak merujuk kepada agensi penyiasatan kerana bimbang bahawa keputusan tersebut akan dibocorkan dan akan menyebabkan gangguan yang tidak diingini. Bahkan, keputusan saya ini adalah terlalu sulit dan saya sendiri hanya memaklumkan kepada Peguam Negara pada jam 9:44 pagi semalam.

8. Saya ingin menegaskan bahawa saya membuat keputusan berhubung representasi tersebut tanpa sebarang pengaruh luar. Malahan, terdapat satu firma guaman yang mewakili pengadu telah menghantar surat yang membantah sebarang cadangan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon. Saya telah menjawab surat tersebut dengan mengatakan bahawa saya akan memutuskan kes tersebut berdasarkan bukti yang sedia ada dan berlandaskan undang-undang, yang mana telah saya lakukan, tanpa sebarang pilih kasih.

9. Keadilan adalah keutamaan saya.

Lihat Komen
ADS