Mogok lapar: Rukumani dimasukkan ke hospital
Terjemahan M Rukumani Devi dimasukkan ke hospital semalam setelah melancarkan mogok lapar sejak sembilan hari lalu kerana membantah tindakan polis mengenakan perintah tahanan terhad ke atas suaminya.
Terjemahan M Rukumani Devi dimasukkan ke hospital semalam setelah melancarkan mogok lapar sejak sembilan hari lalu kerana membantah tindakan polis mengenakan perintah tahanan terhad ke atas suaminya.
Suaminya, Balakrishnan Appala Naidu, 36, dikena perintah tahanan terhad di daerah Jeli, Kelantan di bawah
Ordinan Darurat kerana disyaki terbabit dalam beberapa kes jenayah.
Rukumani, 35, dan Balakrishnan melancarkan mogok lapar itu sejak Rabu minggu lalu.
Rukumani dihantar ke hospital daerah Jeli dengan ambulan kira-kira jam 1 tengahari semalam. Anggota polis dari balai polis Kuala Balah menghubungi hospital selepas Rukumani pengsan pada sebelah paginya.
Abang iparnya, A Thirumoorthy memberitahu malaysiakini Rukumani sebelum ini beberapa kali menolak usaha untuk membawanya ke hospital walaupun keadaannya semakin teruk kerana tidak makan dan minum.
Thirumoorthy berkata, seorang pegawai hospital telah memberitahu keluarganya bahawa Rukumani kekurangan air dalam badannya, yang boleh mengancam nyawanya.
"Pegawai berkenaan turut meminta keluarga kami memujuk Rukumani supaya makan dan minum," katanya.
Suami Rukumani, Balakrishnan yang masih mogok lapar hari ini, ditahan di pusat tahanan Simpang Renggam, Johor di bawah Ordinan Darurat tahun lalu kerana disyaki terbabit dalam beberapa kes jenayah.
Penahanannya bagaimanapun diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi Johor pada 28 Februari lalu dan dia dibebaskan. Bagaimanapun Balakrishnan ditahan semula pada hari dia dibebaskan dan dikenakan perintah buang daerah di Kuala Balah, Jeli.
Perbicaraan terbuka
Ordinan Darurat membenarkan pihak berkuasa menahan suspek yang disyaki terbabit dengan jenayah tanpa bicara selama dua tahun.
Pasangan itu mempunyai dua anak perempuan berusia setahun dan empat tahun, yang kini tinggal bersama rakan dan saudara mara di rumah Balakrishnan di Kuala Balah.
Mereka mogok lapar dalam sebuah kemah yang didirikan di tepi jalan. Di luar kemah tersebut direntang sehelai kain rentang yang ditulis dengan rayuan kepada Perdana Menteri supaya memberinya peluang membuktikan dirinya tidak bersalah.
Balakrishnan yang ditahan di bawah Ordinan Darurat sebanyak dua kali, mendakwa dia mempunyai rekod khidmat masyarakat yang baik dan wajar dibicarakan di mahkamah terbuka.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr Lee Boon Chye yang melawat pasangan itu di kemah mereka Ahad lalu, berkata mogok lapar itu boleh mengancam nyawa pasangan itu.
"Saya nasihatkan pasangan ini segera menerima rawatan. Mereka perlu segera menghentikan mogok lapar ini bagi mengelak kerosakan pada buah pingggang dan otak," kata Dr Lee.
Menurutnya, Rukumani dan Balakrishnan mengalami kekeringan air dalam badan dan kepenatan.
"Pihak berkuasa patut mendengar masalah dan permintaan mereka, jika tidak, mungkin dua nyawa akan hilang ," ujar Dr. Lee.
[Gambar ehsan Suaram]

