Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno kini hilang kemudi, kata Khairy
Diterbitkan:  Sep 28, 2018 8:30 PM
Dikemaskini: 1:17 PM

Umno kini dilihat hilang kemudi tanpa ketua dengan arah tuju yang jelas, kata bekas ketua pemuda parti itu, Khairy Jamaluddin.

Dalam temu bual dengan stesen radio BFM semalam, Khairy berkata anggota parti itu mendengar khabar mengenai pertemuan antara presiden mereka, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan pemimpin tertentu.

"Beliau harus jelas ke arah mana beliau hendak membawa parti ini. Ini adalah langkah yang berselindung dan rahsia. Ia mungkin dirancang untuk mendapat keputusan tertentu tetapi parti tidak tahu apa hasilnya, katanya.

Ketika ditanya sama ada Zahid sedang cuba menjalin kesepakatan dengan PAS, PKR atau Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Khairy berkata beliau "tidak tahu".

Kerjasama dengan PAS

Mengenai sikap akar umbi terhadap perkembangan tersebut pula, Khairy berkata ketika ramai mahukan Umno melakukan pembaharuan termasuk menyokong beliau dan Tengku Razaleigh Hamzah semasa pemilihan parti itu - terdapat pihak lain berminat menjalinkan hubungan dengan musuh Umno.

"Kerjasama dengan PAS ini jelas sangat popular di kalangan anggota di akar umbi. Sesetengahnya bernostalgia mengenai perpaduan Melayu.

"Saya tidak menerimanya kerana PAS mempunyai pandangan yang sangat berbeza daripada kami. Mereka mempunyai pandangan yang saya percaya bukan sebahagian daripada DNA Umno.

"Sebilangan ahli Umno merasakan BERSATU adalah sesuai bagi kami, kerana ramai daripada mereka daripada Umno, malah pemimpin mereka juga, tetapi sekali lagi, saya tidak tahu sama ada BERSATU mahu dikaitkan dengan Umno," katanya.

Bagi Khairy, Umno perlu menumpukan pembaharuan untuk menjadi pembangkang dan pencabar yang baik kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) pada masa akan datang.

"Untuk melangkah kehadapan, kita perlu tebus kesilapan kita. Terima hukuman kita sebagai anggota pembangkang sekarang. Ini adalah adil kerana pengundi telah membuat keputusan.

"Kita mesti komited untuk menjadi pembangkang yang baik sekarang dan tidak cuba mencari pintu belakang untuk menjadi kerajaan, dengan bersepakat dengan parti lain," katanya.

Perlukan masa untuk berubah

Khairy berkata ahli-ahli Umno perlu menerima hakikat bahawa parti itu memerlukan masa untuk berubah dan masih ramai yang tidak menyukai parti Melayu itu.

"Ia akan mengambil masa yang lama tetapi langkah pertama adalah memberitahu orang ramai bahawa kami terima hukuman, kedua kami akan jalankan peranan untuk semak dan imbang yang berkesan.

"Orang ramai mungkin masih tak suka kami - masih tidak menyukai Umno dan BN - tetapi kami, bersama PAS dan Gabungan Parti Sarawak adalah pembangkang yang ada sekarang," katanya.

Beliau berkata reaksi orang ramai kepada BN mungkin akan menjadi lebih positif jika gabungan itu dapat melaksanakan prinsip semak dan imbang seperti membentuk kabinet bayangan baru-baru ini.

Umno mesti berada dalam gelanggang

Menjawab soalan daripada pendengar mengenai langkah BN membentuk kabinet bayangan tersebut namun enggan meletakkan calon pada pilihan raya kecil Port Dickson, Khairy berkata beliau setuju dengan pendapat itu.

Katanya meskipun peluang BN untuk menang di Port Dickson adalah rendah, parti itu masih perlu meletakkan posisinya sebagai lawan yang mencabar.

"Sebagai parti politik dalam pembangkang, kamu mesti berada dalam gelanggang. Saya rasa keputusan tidak bertanding bukanlah keputusan yang tepat. Ini adalah simptom yang berlaku dalam kepimpinan parti saya sekarang," katanya.

Mengenai langkah PKR memaksa pilihan raya kecil Port Dickson pula Khairy berkata HARAPAN telah menjelaskan kepada rakyat Malaysia bahawa mereka mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

"Itu yang akhirnya berlaku. Sesetengah orang mengatakan bahawa dia sepatutnya menunggu pilihan raya kecil dan bukan dipaksa seperti ini.

"Kita perlu menerima bahawa ia akan terjadi dan teruskan saja," katanya.

Ditanya mengenai penilaiannya terhadap Zahid setakat ini, Khairy berkata presiden Umno itu tidak menyediakan arah tuju yang jelas.

Bagaimanapun beliau menjangka Zahid akan mengemukakan visinya dalam perhimpunan Agung Umno hujung minggu ini.

Berhubung prestasi kerajaan persekutuan pula, beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat penilaian.

Dalam temubual itu Khairy turut berkata Perhimpunan Agung Umno hujung minggu ini akan menyaksikan banyak pandangan berbeza dan . mungkin sukar untuk menolak apa yang dikehendaki oleh ahli akar umbi.

"Mungkin tiada keputusan atau konsensus pada akhir himpunan. Ia dibuat dalam masa satu hari berbanding 4 hari sebelum ini.

"Sukar untuk melihat arah yang hendak dituju Umno selepas hujung minggu ini. Tetapi saya berharap kami akan mendapat konsensus," katanya.

Lihat Komen
ADS