Kongres Kepentingan Bangsa anjuran badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu pada hujung minggu ini akan membincangkan beberapa isu penting berkaitan kepentingan dan masa depan orang Melayu secara keseluruhannya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaksananya, Datuk Suhaimi Ibrahim, kongres yang julung kali diadakan itu terbuka kepada semua orang Melayu tanpa mengira ideologi politik atau kumpulan yang mereka anggotai.

Kongres pada 16 dan 17 Disember itu akan berlangsung di Dewan Utama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur dan akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Persidangan ini akan dipengerusikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Setakat ini kira-kira 800 orang telah mendaftar untuk menyertai kongres ini. Mereka terdiri daripada ahli NGO, bekas kakitangan awam, tokoh korporat, ahli akademik, tokoh politik, para pelajar institusi pengajian tinggi dan orang perseorangan.

Suhaimi berkata, Tengku Razaleigh akan membentangkan satu kertaskerja "Pelan Pengukuhan Bangsa" yang antara lain akan menyentuh tentang kepentingan dan langkah-langkah pengukuhan bangsa Melayu.

Skop lebih luas

"Persidangan ini akan membincangkan soal masa depan ekonomi, pendidikan, sosial budaya dan kepimpinan orang Melayu,"ujarnya.

Ia akan membincangkan secara mendalam segala masalah yang menghantui dan mengancam orang Melayu sekarang serta membuat rumusan untuk dihantar kepada Perdana Menteri," jelasanya.

Suhaimi berkata, kongres ini mirip kongres ekonomi bumiputera dan kongres pendidikan Melayu yang pernah diadakan sebelum ini, cuma skop perbincangannya lebih luas.

Menurutnya, kongres ini berharap resolusi-resolusinya akan diterima oleh kerajaan dan dilaksanakan di dalam Rancangan Malaysia kesembilan.

"Seketariat NGO Melayu terpanggil untuk menganjurkan kongres ini setelah menyaksikan terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan segera bagi memperbetulkan segala kelemahan dan kekurangan orang Melayu kebelakangan ini.

"Kongres ini mahu memastikan kedudukan orang Melayu terjamin dan berjaya dalam semua bidang,"ujarnya.