Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PENGASIH: Tak mudah halalkan penggunaan ganja sebagai ubat

Persatuan pengasih Malaysia (PENGASIH) menyokong cadangan mengkaji semula undang-undang berkaitan penggunaan ganja untuk perubatan tetapi mengakui ia sukar dilakukan.

Presiden NGO pemulihan dadah itu Datuk Mohd Yunus Pathi berkata, antara halangan utama adalah mengubah persepsi masyarakat tentang ganja walaupun untuk tujuan perubatan.

"Ramai akan menentang kerana apabila Dasar Dadah Negara dikeluarkan pada 1983, (perdana menteri ketika itu) Tun Dr Mahathir Mohamad telah isytiharkan dadah adalah musuh dan ancaman kepada negara.

"Ketika itu juga ada kenyataan di peringkat antarabangsa yang dikeluarkan (presiden Amerika Syarikat) Ronald Reagan yang mengisytiharkan war on drugs," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Yunus berkata, kajian di Amerika Syarikat dan Eropah telah menunjukkan kandungan dalam ganja yang dapat menyembuhkan penyakit.

"Ia dapat membantu meningkatkan ekonomi negara serta membuka peluang pekerjaan dalam sektor perladangan.

"Ia juga akan menaikkan nama Malaysia sebagai negara Asia pertama yang menerima ganja sebagai ubat," katanya lagi sambil mengakui pengambilannya sebagai ubat tetap perlu dikawal - seperti ubatan biasa - bagi mengelakkan salah guna.

Semalam, Senator Husam Musa menyuarakan sokongannya terhadap Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar yang mahu membawa isu undang-undang melibatkan ganja ke kabinet.

Beliau yang juga naib presiden AMANAH berharap perubatan berasaskan ganja tidak dianggap sebagai jenayah mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Ia mempunyai unsur-unsur kesihatan yang sangat kaya dianugerahkan Allah. Dari segi pengubatan kanser dia ada 36 elemen untuk perubatan kanser," katanya lagi.


BACA: 'Pesakit' tampil sokong Dr Ganja di mahkamah


Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pula berkata belum dibuktikan ia baik untuk kesihatan dan menegaskan penggunaan minyak ganja dihadkan untuk tujuan penyelidikan dan dengan kelulusan kementerian.

"Semua (peraturan) sudah ada, jadi kita hanya akan ikuti apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak dapat dilakukan. Kecuali kita mahu mengkaji semula dan meminda Akta Dadah Berbahaya 1952, itu cerita lain," katanya.

Isu penggunaan ganja kembali diperkatakan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman mati kepada Muhammad Lukman Hakim kerana memiliki, memproses dan mengedarkan ganja.

Lukman dikatakan menggunakan bahan itu untuk tujuan perubatan.

Ubah persepsi

Kes itu mendapat perhatian Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Menteri Undang-undang Datuk Liew vui Keong.

Malah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hukuman itu patut disemak semula.

Sementara itu, Yunus berkata semua pihak perlu mengubah persepsi mereka daripada penagih dadah sebagai penjenayah kepada pesakit yang perlu dirawat.

"Kerajaan masih meletakkan isu penagihan dadah bawah Kementerian Dalam Negeri kerana dianggap soal keselamatan, sedangkan ia perlu dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan.

"Persoalan lebih penting adalah kenapa orang mengambil dadah? Apa yang perlu diambil kira adalah kesihatan mental dan emosi seseorang itu sebelum terlibat menggunakan dadah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS