Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Husam: Malaysia terkedepan jika perkenal ganja kesihatan

Cadangan supaya Malaysia memperkenalkan tanaman ganja kesihatan bagi tujuan perubatan dilihat sebagai langkah terkedepan jika berjaya direalisasikan.

Senator Husam Musa berkata, tanaman ganja secara terkawal itu bakal diperkenalkan di Kanada bermula tahun depan dan turut akan diperkenalkan di Jerman serta beberapa negeri di Amerika.

"Ia mempunyai unsur-unsur kesihatan yang sangat kaya dianugerahkan Allah.

"Dari segi pengubatan kanser dia ada 36 elemen untuk perubatan kanser," katanya ketika berucap di program di Lembaga Kenaf dan Tembaga Negara di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Husam yang juga naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar yang berhasrat untuk membawa isu perubahan terhadap undang-undang melibatkan ganja ke kabinet.

Beliau berharap perubatan berasaskan ganja tidak dianggap sebagai jenayah mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu isu perubatan berasaskan ganja mendapat perhatian selepas seorang pengamal perubatan berasaskan ganja, Muhammad Lukman yang dijatuhkan hukuman mati keranan memiliki 3.11 liter minyak kanabis, 279 kilogram ganja mampat dan 1.4 kilogram bahan mengandungi kimia asas tetrahydrocannabinol (THC) yang terkandung dalam ganja.

Sementara itu, Husam berkata penggunaan marijuana kesihatan itu merupakan bahan yang lebih baik bagi untuk kaedah kimoterapi bagi pesakit kanser.

"Pada hari ini kita menggunakan kimoterapi, bagaimanapun kimoterapi memberi kesan yang teruk kepada badan manusia, kerana sel-sel yang sihat juga terkesan susulan kimoterapi.

"Tetapi, kanabis yang digunakan untuk kimoterapi hanya mensasarkan sel-sel yang buruk untuk dihapuskan dan tidak memberi kesan yang teruk.

"Dan kanabis ini juga sangat berguna kepada perubatan HIV. Yang kita bincangkan adalah marijuana kesihatan," katanya.

Berkongsi maklumat yang diperolehinya daripada saintis Taiwan, Husam menjelaskan marijuana kesihatan tidak menghasilkan ketagihan bahkan ia boleh menghasilkan ketenangan.

Jika penanaman ganja itu diperkenalkan di Malaysia, katanya, ia bakal meningkatkan pendapatan rakyat.

"Di Australia marijuana dijual dengan harga 30-50 dolar Amerika untuk satu kilogram tapi insya-Allah marijuana kesihatan yang boleh dhasilkan ini boleh mencecah 5,000 hingga 10,000 dolar bagi satu kilogram.

"Bayangkan kalau orang Bachok boleh berubah daripada tanam tembakau kepada marijuana kesihatan insya-Allah pendapatan mereka akan meningkat. Inilah hasrat kerajaan Pakatan Harapan," katanya.

Lihat Komen
ADS