Petisyen pilihanraya: PAS dakwa kumpul cukup bukti penipuan
PAS mendakwa parti itu sudah mempunyai bukti yang cukup berhubung penipuan dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir baru-baru ini.
PAS mendakwa parti itu sudah mempunyai bukti yang cukup berhubung penipuan dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir baru-baru ini.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Takiyudin Hassan berkata, pihaknya yakin akan mendapat kerjasama sepenuhnya dengan pihak-pihak yang terlibat dengan penipuan ini.
Katanya, sekurang-kurangnya lima pengundi yang terlibat 'menyamar sebagai pengundi' dalam pilihanraya kecil itu sudah bersedia memberi keterangan sebagai saksi apabila pestisyen pilihanraya berkenaan dibuat kelak.
Menurut laporan Harakah Daily.Net , Takiyuddin berkata, lima pengundi berkenaan adalah sebahagian daripada 20 orang yang terlibat 'menyamar sebagai pengundi' di DUN berkenaan, yang sanggup memberi keterangan dalam mahkamah.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa PAS akan mengemukakan petisyen pilihanraya selepas mempunyai bukti kukuh berlaku penyelewengan dan pelanggaran peraturan pilihanraya kecil itu.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat JK PAS Pusat Ahad lalu.
Sebelum itu, sebaik sahaja keputusan rasmi diumumkan, Timbalannya, Nasharudin Mat Isa telah mengumumkan langkah mengemukakan petisyen pilihanraya tersebut.
Takiyudin yang juga Exco kerajaan negeri, berkata bukti-bukti lain juga sudah dan sedang dikumpul untuk dikemukakan nanti, termasuk gambar mereka yang terlibat.
"Kita tidak bercakap kosong, bahkan kita ada bukti mengenainya (menyamar sebagai pengundi)," kata beliau yang juga sorang peguam.
Penyong PAS jadi mangsa
Menurutnya lagi, penyamaran atau pengundi hantu adalah kesalahan paling jelas berlaku dalam pilihanraya kecil itu baru-baru ini di samping majlis jamuan dan rasuah lain.
"Menyamar sebagai pengundi dan pengundi hantu termasuk atas nama orang yang sudah mati atau menyamar mengundi untuk orang yang hidup, tetapi namanya telah digunakan oleh orang lain, adalah menjadi kesalahan pilihanraya.
"Kita akan kemukakan petisyen pilihanraya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secepat mungkin, sekurang-kurangnya selepas 60 hari memandangkan tindakan itu amat bersalahan dalam pilihanraya.
"Kita ada juga pengundi berdaftar, tetapi namanya sudah digunakan oleh pengundi yang lain," ujarnya.
Takiyuddin seterusnya memberitahu, sebahagian besar mereka yang menjadi mangsanya ialah penyokong PAS menyebabkan mereka tidak dapat mengundi kerana nama mereka sudah digunakan oleh pengundi lain.
"Mungkin ada juga penyokong Umno mengalami nasib yang serupa, tetapi itu kemungkinanlah, yang jelas pengundi dari penyokong PAS ramai mengalami masalah itu," ujarnya lagi.

