Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata tindakannya yang membawa kepada pertuduhan pecah amanah jenayah terhadapnya hari ini adalah untuk membayar hutang negara.

Tanpa tindakannya itu, beliau berkata, ekonomi negara akan dilanda kesan yang teruk.

"Niat saya jelas, keputusan dibuat atas kepentingan negara, dalam konteks apabila anda menerima sejumlah wang, anda perlu membayarnya semula.

"Jika tidak kita akan default (ingkar dalam pembayaran hutang) dan ia akan membawa kepada keruntuhan pasaran bon. Ia akan menjadi sangat serius.

"Ada kewajipan kontrak tertentu yang perlu kita patuhi. Ia demi kepentingan negara untuk kita tidak memungkiri kewajipan kontrak kita," katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas membayar ikat jamin.

Najib berkata pendakwaan langsung tidak membayangkan beliau atau bekas ketua setiausaha perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah mendapat manfaat secara peribadi daripada dakwaan kesalahan, dan beliau akan membangkitkan perkara itu di mahkamah nanti.

"Pendakwaan tidak mengaitkan keputusan saya dengan sebarang manfaat peribadi, bahawa saya menerima manfaat daripada apa yang telah saya buat.

"Apa yang kami lakukan, kami akan buktikan di mahkamah, dan insyaAllah, ia semua untuk kepentingan negara dan tiada unsur manfaat peribadi kepada saya atau Irwan," katanya lagi.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Najib berkata empat daripada enam pertuduhan berkaitan penyelesaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC), di mana kerajaan perlu membayar tunggakan berjumlah AS$1.2 juta tahun lalu.

Ia untuk hutang berjumlah AS$1 bilion beserta faedah, yang diberikan IPIC kepada Malaysia pada Jun 2015.

"Perjanjian penyelesaian itu turut memasukkan persetujuan IPIC akan memulangkan AS$3.5 bilion kepada kerajaan sebelum 31 Disember 2020," katanya.

Katanya lagi, baki dua pertuduhan adalah berkenaan langkah kerajaan untuk membayar syarikat milik kerajaan China bagi memulakan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan projek paip gas seperti yang digariskan dalam perjanjian.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendakwa Najib mengalihkan dana kerajaan yang diperuntukkan bagi program BR1M, dana bagi menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, perolehan daripada penjualan tanah Kementerian Kewangan kepada Bank Negara dan dana yang diperolehi daripada "entiti luar di China".

Kesemua dana itu - berjumlah RM4.78 bilion - digunakan untuk membayar hutang 1MDB kepada IPIC.

Bagaimanapun peguam Najib, Tan Sri Shafee Abdullah berkata kesemua itu hanyalah keputusan eksekutif dalam menetapkan semula dana dan ia sentiasa dilakukan malah oleh kerajaan sekarang.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan ikat jamin RM1 juta kepada Najib dan Irwan. Mereka perlu membayar separuh daripadanya hari ini, manakala bakinya dalam masa sepuluh hari.

Di luar bilik mahkamah, Najib menggesa orang ramai agar tidak "terpengaruh" dengan angka besar yang dinyatakan kertas pendakwaan dan menegaskan wang tersebut tidak hilang.

"Ia tidak bermakna RM6.5 bilion telah hilang. Ia adalah jumlah bayaran dan ia boleh dikira," katanya lagi.

Najib juga menyatakan kekesalannya apabila pendakwaan yang diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram hanya memberikan kertas pendakwaan lima minit sebelum mahkamah bersidang pagi tadi yang menurutnya adalah satu tindakan yang tidak adil.

Lihat Komen
ADS