Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rosmah tiga beranak disiasat lebih 3 jam
Diterbitkan:  Oct 26, 2018 10:03 AM
Dikemaskini: 7:17 AM

DIKEMASKINI | Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Polis Diraja Malaysia hari ini menyoal siasat Datin Seri Rosmah Mansor dan dua anaknya, Norashman dan Riza Aziz, selama tiga setengah jam.

Sumber polis memberitahu Malaysiakini bahawa ketiga-tiga mereka meninggalkan Menara KPJ yang menempatkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil kira-kira jam 1 petang.

"Ketiga-tiganya ditanya mengenai barangan dan perhiasan yang dirampas di kediaman yang dikaitkan dengan (bekas perdana menteri) Najib ( Razak). Mereka diminta menyatakan di mana dan bagaimana mereka mendapatnya," kata sumber itu.

Terdahulu, ketiga-tiga beranak itu tiba di Menara KPJ pada jam 9.45 pagi tadi, namun hanya menguncikan mulut apabila ditanya pemberita.

Mereka juga melepasi pihak pemberita selepas selesai disoal siasat dengan mengikuti laluan lain.

Sumber berkata polis setakat ini mereka tidak berhasrat untuk memanggil semula ketiga-tiga beranak itu.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan ketiga-tiga mereka akan disoal siasat hari ini berhubung pemilikan dan pembelian barangan kemas yang dirampas daripada kediaman yang dikaitkan dengan Najib pada Mei lalu.

Pada Jun, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan polis merampas barangan kemas bernilai RM440 juta daripada kediaman yang dikaitkan dengan Najib.

Selain itu, polis juga merampas 567 beg tangan bernilai lebih RM51.3 juta, 423 jam tangan dan 234 cermin mata hitam bernilai RM79 juta dan RM374,000 wang tunai.

Pada 4 Oktober, Rosmah dihadapkan dengan 17 pertuduhan, iaitu 12 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan kerana gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Bulan lepas, Najib meminta dibicarakan atas 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung urus niaga berjumlah RM2.3 bilion, yang dipercayai dikaitkan dengan 1MDB.

Lihat Komen
ADS